KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara gabungan berpotensi menguasai 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus membentuk blok majoriti yang stabil, berdasarkan unjuran Ilham Centre.
Menurut pusat kajian itu, Pakatan Harapan (PH) pula dijangka memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi pada PRN yang dijadual berlangsung esok.
"BN dilihat berjaya memanfaatkan kelebihan struktur organisasi, penguasaan akar umbi serta sentimen Melayu luar bandar untuk mengukuhkan dominasi mereka di kerusi-kerusi majoriti Melayu.
"Kekuatan jentera tradisi dan keupayaan mobilisasi tempatan memberi BN kelebihan konsisten di kawasan yang sebelum ini bersifat kompetitif," kata Ilham Center dalam kenyataan pada Jumaat.
Ilham Centre merumuskan landskap sokongan politik di Negeri Sembilan kini mengalami penyusunan semula yang ketara.
Selain itu, PH dilihat semakin kehilangan cengkaman di kerusi campuran yang sebelum ini menjadi antara teras kekuatan gabungan itu, apabila kawasan dengan komposisi etnik yang lebih seimbang menunjukkan kecenderungan yang semakin terbuka dan tidak lagi berpihak secara automatik kepada gabungan itu.
Menurut Ilham Centre, perubahan sentimen itu menandakan berakhirnya kebergantungan PH kepada kerusi campuran sebagai "simpanan selamat" undi, apabila pengundi di kawasan berkenaan semakin responsif terhadap isu semasa, prestasi penyandang dan dasar kerajaan.
Dalam pada itu, PH juga dilihat semakin bergantung kepada kawasan majoriti Cina yang ditandingi DAP sebagai benteng utama untuk mengekalkan jumlah kerusi.
"Kebergantungan yang tinggi kepada satu segmen pengundi ini menjadikan kedudukan PH lebih terhad dan kurang seimbang dari segi demografi dan geografi sokongan," menurut analisis itu.
Sementara itu, PN dilihat memperoleh manfaat daripada konfigurasi pertandingan yang lebih strategik serta kesan limpahan sokongan Melayu yang semakin tersusun.
Walaupun hanya bertanding di beberapa kerusi, PN dilihat mampu menyumbang kemenangan yang melengkapkan majoriti selesa gabungan BN-PN.
Bagaimanapun, lima kerusi iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang masih dikategorikan sebagai sukar diramal.
Ilham Centre berkata kerusi berkenaan memperlihatkan persaingan yang sangat dinamik dari segi demografi, sentimen tempatan serta pertembungan personaliti calon.
"Sekiranya BN berjaya menawan beberapa kerusi ini, BN-PN berupaya melepasi majoriti dua pertiga majoriti di dalam DUN," katanya lagi.
Ilham Centre melaksanakan kajian lapangan berkaitan PRN Negeri Sembilan bermula 18 hingga 30 Julai 2026 bagi menilai sikap, tingkah laku dan pola kecenderungan pengundi pada penghujung kempen.
Kajian menggabungkan kaedah kuantitatif dan kualitatif menerusi temu bual mendalam (IDI), perbincangan kumpulan berfokus (FGD) dan soal selidik secara bersemuka.
Ia melibatkan 1,002 responden kuantitatif, enam kumpulan FGD membabitkan 28 informan serta 38 informan IDI di seluruh 36 kawasan DUN.
Seramai 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada Sabtu, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi DUN.