SEREMBAN: Dapatan kajian yang diterbitkan oleh Ilham Centre sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan bertujuan menentukan pihak yang menang atau kalah, sebaliknya memberi gambaran mengenai sentimen pengundi dan landskap politik semasa.
Felo Penyelidiknya, Mujibu Abdul Muis berkata hasil kajian yang dijalankan merupakan dapatan berdasarkan pemerhatian di lapangan dan tidak seharusnya dilihat daripada sudut negatif.
Menurut beliau, kajian berkenaan boleh dimanfaatkan parti-parti politik sebagai panduan untuk menilai prestasi serta merangka strategi yang lebih berkesan pada masa hadapan.
“Bagi saya, secara umumnya parti-parti politik boleh menggunakan dapatan ini untuk merangka strategi seterusnya dan memperbaiki apa yang didapati daripada kajian-kajian yang dijalankan.
“Hasil kajian ini memberikan gambaran sebenar dan juga unjuran tentang corak pengundian serta proses pendemokrasian,” katanya ketika ditemu bual dalam siararan khas Negeri Sembilan Memilih.
BACA: Kempen tidak berkesan, pengundi Cina tak lagi sokong PH secara 'automatik'- Ilham Center
BACA: BN-PN potensi kuasai 22 kerusi DUN - Ilham Centre
Mengulas lanjut, Mujibu berkata dapatan kajian turut menunjukkan politik berasaskan kaum dan sentimen masih menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi corak pengundian di negara ini.
Katanya, keadaan itu memperlihatkan struktur politik Malaysia masih belum beralih sepenuhnya kepada politik yang berteraskan kredibiliti calon dan dasar yang ditawarkan.
“Demokrasi memberi hak kepada rakyat untuk memilih berdasarkan kredibiliti, pendekatan dan kemampuan seseorang menjadi pentadbir yang baik.
“Namun, hasil kajian menunjukkan sentimen tertentu masih menjadi pertimbangan utama sebahagian pengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Mujibu berkata Ilham Centre menggunakan gabungan kaedah temu bual bersemuka, perbincangan kumpulan fokus serta analisis kuantitatif bagi menghasilkan dapatan yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata pendekatan itu membolehkan penyelidik memahami tingkah laku dan kecenderungan pengundi yang mungkin tidak dapat diterjemahkan menerusi data semata-mata.
Sebelum ini, Ilham Centre menerbitkan laporan yang menyifatkan politik identiti dan sentimen masih menjadi faktor dominan dalam PRN Negeri Sembilan, khususnya di beberapa kerusi yang dikenal pasti sebagai kerusi tumpuan.