KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal membina lonjakan momentum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 apabila strategi kempen yang pada awalnya berteraskan kejayaan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan pentadbiran kerajaan negeri tidak berjaya menarik majoriti pengundi.
Dapatan kajian Ilham Centre menunjukkan moral jentera PH berada pada tahap rendah susulan kekalahan pada PRN Johor, sekali gus menyebabkan gabungan itu dilihat sukar membentuk strategi yang mampu mencetuskan perubahan sentimen dalam kalangan pengundi Negeri Sembilan.
Menurut kajian itu, walaupun bahan kempen berkaitan kejayaan Aminuddin dan kerajaan negeri terus diketengahkan, naratif berkenaan gagal memperoleh tarikan meluas dalam kalangan pengundi.
"Mesej PH pada peringkat awal lebih bertindak menjawab serangan pihak lawan berbanding memfokuskan naratif sebenar yang perlu dibawa kepada pengundi," menurut dapatan kajian itu, yang dikeluarkan pada Jumaat.
Pada fasa kedua kempen, Ilham Centre berkata PH dilihat mengubah tumpuan kepada usaha memanfaatkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, selain menjadikan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sebagai antara tema utama serangan politik.
Kajian mendapati kenyataan Muhammad Sanusi memberi sedikit kesan terhadap sentimen pengundi bukan Melayu.
Bagaimanapun, impaknya tidak mencukupi untuk meneutralkan gelombang politik identiti Melayu-Islam yang dilihat digerakkan secara tersusun oleh BN dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam masa sama, isu RCI TH yang diharapkan menjadi antara instrumen utama PH untuk memecahkan kebuntuan kempen tidak menghasilkan limpahan sokongan seperti yang diharapkan.
"Kegagalan tersebut bukan kerana isu itu tidak mempunyai nilai politik, sebaliknya strategi komunikasi yang dibina tidak bertepatan dengan psikologi serta keutamaan pengundi Melayu pada ketika itu," menurut kajian berkenaan.
Pengundi Cina Tidak Lagi Sokong PH Secara Automatik
Sementara itu, kajian mendapati corak sokongan pengundi Cina terhadap PH di Negeri Sembilan turut menunjukkan perubahan berbanding beberapa pilihan raya terdahulu.
Walaupun sebahagian besar pengundi Cina masih cenderung memilih PH, sokongan itu didapati lebih bersifat pragmatik dan defensif berikutan ketiadaan alternatif politik yang benar-benar diyakini, bukannya didorong tahap keyakinan tinggi terhadap prestasi kerajaan.
Keadaan itu berbeza dengan tahap semangat, keterujaan dan mobilisasi luar biasa yang dapat dilihat dalam kalangan pengundi Cina ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN Negeri Sembilan 2023.
Dapatan kajian menunjukkan rasa kecewa terhadap beberapa dasar nasional, termasuk polisi cukai, pelarasan subsidi, pelaksanaan e-Invois, penguatkuasaan aktiviti perniagaan serta persepsi bahawa proses reformasi institusi berjalan terlalu perlahan, mula mempengaruhi tingkah laku politik kelompok berkenaan.
Sebahagian pengundi Cina dilihat merasakan mereka merupakan antara kelompok yang paling kuat menyokong pembentukan kerajaan Persekutuan, namun realiti yang dihadapi tidak sepenuhnya memenuhi jangkaan mereka.
Perkembangan itu menyebabkan PH berdepan dua cabaran serentak iaitu defisit sokongan Melayu serta kegagalan mengekalkan tahap mobilisasi maksimum dalam kalangan sebahagian pengundi terasnya.
Pengundi India Mula Menjauh
Dapatan kajian turut menunjukkan perubahan ketara dalam pola sokongan pengundi India, yang sebelum ini merupakan antara kelompok penyokong utama PH dalam beberapa siri pilihan raya terdahulu.
Dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, terdapat kecenderungan segmen tersebut mula menjauhkan diri daripada PH dan beralih kepada parti lawan.
Dengan pengundi India membentuk sekitar 15 peratus daripada keseluruhan pengundi di Negeri Sembilan, perubahan sentimen kelompok itu dilihat memberi implikasi besar kepada beberapa kawasan tumpuan.
Antara DUN yang mempunyai peratusan pengundi India yang tinggi ialah Jeram Padang sebanyak 33 peratus, Seremban Jaya (28 peratus), Sri Tanjung (27 peratus), Rantau (27 peratus), Lukut (26 peratus) dan Mambau (25 peratus).