PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan pihaknya tidak akan menggadai kepercayaan rakyat semata-mata untuk meraih kemenangan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Fuziah Salleh berkata, parti itu kekal berpegang kepada prinsip bahawa setiap keputusan politik perlu berteraskan kepentingan rakyat dan bukannya semata-mata pertimbangan strategi pilihan raya.
Menurut beliau, PKR mengambil maklum perkembangan semasa berkaitan persefahaman dan kerjasama politik menjelang PRN Negeri Sembilan, namun menghormati hak setiap parti untuk menentukan pendekatan masing-masing.
“Berteraskan prinsip ‘bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat’, HARAPAN (PH) tetap bertegas bahawa menggadaikan kepercayaan demi kemenangan bukan dalam kamus strategi politik kami,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Fuziah berkata, PKR kekal dengan pendirian bahawa sebarang keputusan politik di peringkat negeri sentiasa dinilai berdasarkan kepentingan serta aspirasi rakyat Negeri Sembilan.
Tambahnya, PRN Negeri Sembilan merupakan medan demokrasi yang memberi ruang kepada parti politik menawarkan dasar, rekod perkhidmatan dan kepimpinan terbaik kepada rakyat.
Sehubungan itu, katanya, PKR akan terus memberi tumpuan kepada agenda kesejahteraan rakyat termasuk memperjuangkan peluang ekonomi, menangani kos sara hidup, memastikan pembangunan seimbang serta memperkukuh tadbir urus yang telus dan berintegriti.
“Agenda pembangunan negara serta kebajikan rakyat yang berkesan ialah paksi serta tunjang utama mendasari setiap langkah politik kami,” katanya.
Dalam masa sama, Fuziah menyifatkan perbezaan strategi ketika pilihan raya negeri sebagai perkara lumrah dalam landskap politik.
Beliau turut menyeru seluruh jentera Keadilan dan Pakatan Harapan (PH) supaya terus fokus, berdisiplin dan bekerja dengan penuh iltizam bagi meraih keyakinan rakyat serta mempertahankan mandat gabungan itu di Negeri Sembilan.
Pada Khamis, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan bertanding 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Barisan Nasional (BN) mengisytiharkan hanya bertanding 25 kerusi, bagi membuka laluan untuk blok pembangkang itu menyertai PRN Negeri Sembilan ke-16.