Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Hamzah persoal pengumuman kenaikan SARA ketika kempen

Hamzah Zainudin
Hamzah mendakwa, pengumuman berkenaan pada awal tempoh kempen pilihan raya mungkin didorong kebimbangan terhadap kekuatan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). - Gambar Astro AWANI
Advertisement

JELEBU: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan pengumuman kerajaan untuk menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.

Beliau berkata, walaupun menyambut baik sebarang usaha kerajaan menambah bantuan kepada rakyat, namun, pengundi perlu menilai sendiri tujuan serta masa pengumuman itu dibuat.

Menurut Hamzah, pengumuman bantuan ketika musim pilihan raya boleh menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar demi kepentingan rakyat atau didorong pertimbangan politik.

“Tambahlah kalau dia tambah 100 peratus pun, Alhamdulillah kalau dia tambah lagi banyak pun, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan kepada rakyat.

“Cuma rakyat sedar sikitlah yang diumum itu masa pilihan raya. Orang yang mengumumkan waktu pilihan raya itu maknanya dia terdesak. Apabila kita nak memilih pemimpin, carilah pemimpin yang benar-benar ikhlas, jujur demi kepentingan rakyat yang sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri ceramah umum bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pertang di Felcra Lakai, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, seorang pemimpin yang mempunyai perancangan tersusun sepatutnya memikirkan kebajikan rakyat sejak awal pentadbiran, bukannya membuat pengumuman ketika musim pilihan raya.

“Orang yang stabil pemikirannya akan pastikan apa yang dilakukan dan diumumkan itu adalah sesuatu yang bertanggungjawab, bukan hanya kehendak politik semata-mata tetapi untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut mendakwa, pengumuman berkenaan pada awal tempoh kempen pilihan raya mungkin didorong kebimbangan terhadap kekuatan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan kini semakin matang dalam menilai setiap tindakan pemimpin dan yakin kerjasama BN-PN berpeluang mendapat sokongan pada PRN kali ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ketika menyampaikan ceramah Jelajah Kekal Harapan di Paroi, Seremban.

 

Must Watch Video

Advertisement