JELEBU: Hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini membawa makna berganda buat calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias apabila turut menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-39 bersama isteri, Datin Seri Maziah Mohd Nor.
Perkara itu dkongsi kepada pengamal media selepas beliau selesai menunaikan tanggungjawab membuang undi di Sekolah Kebangsaan Putra, Simpang Durian, di sini, hari ini.
Terdahulu, Jalaluddin yang berbaju biru tiba di pusat mengundi itu kira-kira pukul 8.40 pagi bersama isteri.
PRN kali ini menyaksikan Jalaluddin dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Umry Abdul Khois dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Faizal Fadli Mohd. Idrus.
Sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran dibuka serentak bermula 8 pagi, membolehkan 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan menentukan kerajaan negeri untuk penggal akan datang.