Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: "Jangan pandang rendah Bersatu" - Ketua Penerangan Armada

KETUA ARMADA PRN  Tag: Prn, bersatu, armada  Kredit: Astro AWANI
Menurut Harris Idaham, Bersatu akan membuktikan kekuatan parti itu di lapangan dengan mencabar semua gabungan termasuk Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Advertisement

KUALA KLAWANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan semua pihak supaya tidak memandang rendah keupayaan parti itu dalam menghadapi saingan lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, PRN Negeri Sembilan menjadi medan untuk parti itu membuktikan kekuatan di lapangan, selain memberi mesej kepada rakan dan lawan.

“Hari ini Bersatu tampil menggunakan logo sendiri buat kali pertama semenjak pertubuhan parti dan Pilihan Raya Negeri Sembilan ini menjadi satu medan untuk Bersatu buktikan kekuatan kita di lapangan dan untuk memberi mesej kepada rakan mahupun lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika hadir memberi sokongan kepada tiga calon Bersatu di bawah Parlimen Jelebu iaitu kepada tiga calon Bersatu laitu Muhammad Adib Musa (Klawang), Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus (Pertang) dan Mazrulhisham Abd Mansor (Sungai Lui) di Dewan Besar, Kuala Klawang Jelebu, di sini, hari ini.

“Jangan sesekali memandang rendah kepada parti-parti yang ada. Jangan sesekali membuat keputusan sembrono tanpa pembincangan, khususnya dalaman Perikatan Nasional... kerana bukan semua parti akan duduk diam.

“Ada parti yang berani, yang mahu mempertahankan maruah seperti Bersatu yang akan tampil pada hari penamaan calon seperti hari ini,” katanya lagi.

Tambahnya, Bersatu akan membuktikan kekuatan parti itu di lapangan dengan mencabar semua gabungan termasuk Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, Bersatu mengumumkan akan bertanding di 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

Must Watch Video

Advertisement