KUALA LUMPUR: Perbezaan bentuk kerjasama politik antara peringkat Persekutuan dan negeri berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi, khususnya apabila parti yang bekerjasama di satu peringkat dilihat bersaing di peringkat lain.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Syaza Farhana Mohamad Shukri berkata, keadaan itu boleh menyebabkan pengundi mempersoalkan rasional kerjasama politik yang berbeza antara kedua-dua peringkat.
Menurutnya, pengundi mungkin tertanya-tanya mengapa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, namun menjadi pesaing di peringkat negeri.
“Pengundi mungkin akan keliru sebab di peringkat Persekutuan, PH dan BN masih bekerjasama, tetapi apabila di peringkat negeri, tiba-tiba mereka melawan satu sama lain.
“Pengundi akan tanya, kenapa tidak boleh bekerjasama di sini tetapi boleh bekerjasama di sana? Siapa yang mengkhianati siapa?” katanya dalam wawancara bersama Buletin AWANI Khas sempena Pilihan Raya Negeri Sembilan, hari ini.
Bagaimanapun, Syaza berkata, situasi itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana perkara sama berlaku di beberapa negara demokrasi yang lebih matang.
Menurutnya, percaturan politik di peringkat Persekutuan dan negeri boleh berbeza kerana faktor isu tempatan memainkan peranan dalam menentukan sama ada parti memilih untuk bekerjasama atau bersaing.
“Di negara-negara Eropah memang perkara ini normal. Di peringkat Persekutuan kita ada percaturan lain, di peringkat negeri ada percaturan lain kerana isu lokal memainkan peranan yang membawa pemain-pemain ini sama ada mereka mahu bekerjasama ataupun tidak,” katanya.
Mengulas keputusan politik di Johor dan Negeri Sembilan, beliau berkata, kemenangan sesebuah parti dipengaruhi pelbagai faktor dan tidak boleh dilihat berdasarkan satu naratif sahaja.
Katanya, faktor isu tempatan, sentimen Melayu-Islam serta kekuatan jentera parti turut memainkan peranan dalam membentuk sokongan pengundi.
“Apabila ramai yang tanya apa faktor sebenarnya Barisan Nasional menang, sebenarnya pelbagai faktor. Ia bukan satu poster boy sahaja, bukan satu faktor semata-mata. Kepelbagaian faktor ini menjelaskan keadaan,” katanya.
Beliau berkata, situasi di Negeri Sembilan lebih mencabar berbanding Johor kerana negeri itu dijangka menyaksikan persaingan pilihan raya yang lebih sengit.
Menurut Syaza, keadaan itu mungkin menjadi antara faktor yang mendorong parti politik mencari formula berbeza bagi menghadapi cabaran politik di negeri berkenaan.
Tambahnya, landskap politik semasa menunjukkan keputusan pengundi dipengaruhi pelbagai faktor dan tidak boleh dinilai berdasarkan satu naratif sahaja.