GUA MUSANG: Peranan masyarakat Orang Asli sebagai anggota Senoi Praaq dan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika zaman darurat, menjadi antara benteng penting negara dalam mengekang ancaman komunis di kawasan pedalaman.
Pesara PGA Angah Asu, 69, berkata dia menyertai pasukan keselamatan pada usia 18 tahun, selepas menjalani latihan di Ulu Kinta pada 1974, sebelum ditugaskan ke beberapa kawasan operasi termasuk Kuala Wias dan Pos Gemalah di pedalaman Gua Musang.
Angah berkata Senoi Praaq ketika itu ditugaskan untuk meredah hutan tebal, sebagai cara mengesan pergerakan musuh serta melaksanakan operasi keselamatan, di kawasan yang sukar diakses.
“Ketika itu darurat masih berlaku dan kami perlu masuk ke dalam hutan untuk menjalankan operasi, malah saya terpaksa bertempur dengan musuh dan pernah melepaskan tembakan kosong untuk menghalau mereka.
“Kami juga turut dibantu masyarakat Orang Asli yang lebih mengetahui selok belok laluan di dalam hutan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Gob di sini baru-baru ini.
Beliau berkata ancaman komunis bukan perkara asing bagi penduduk di penempatan berkenaan, kerana kawasan ini pernah menjadi lokasi pergerakan kumpulan musuh terbabit, pada sekitar tahun 1970.
“Masa itu mereka sudah berada di kawasan Pos Gob dan ada juga penduduk Orang Asli yang menjadi pengikut mereka. Ketika itulah Senoi Praaq memainkan peranan dengan membantu pasukan keselamatan mempertahankan kawasan yang terletak jauh di pedalaman ini,” katanya.
Angah mengakui kehidupan ketika itu amat mencabar, malah keluarganya yang berasal dari Kampung Belaer, Pos Gob turut berdepan kesukaran ketika darurat, sehingga terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih selamat ketika mula-mula menetap di pos itu pada tahun 1968.
“Ketika itu penduduk kerap jatuh sakit sehinggakan dalam masa sehari ada dua atau tiga orang meninggal dunia. Setelah keadaan begitu berterusan sehingga sebulan, kami akhirnya tidak tahan dan bapa menyuruh kami sekeluarga berpindah ke rumah pondok,” katanya.
Angah pembangunan mula dibawa ke Pos Gob apabila sebuah sekolah dibina oleh tentera British pada 1970, sekali gus membolehkan anak Orang Asli mendapat pendidikan formal.
“Tenaga pengajar terdiri daripada guru Orang Asli dari Kuala Betis dan guru Melayu. Ramai anak Orang Asli belajar ketika itu, termasuk saya sebelum bersekolah di Pos Gemalah,” katanya.
-- BERNAMA