KUALA PILAH: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke diumumkan sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kali ini.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah hari ini.
Loke yang juga merupakan Menteri Pengangkutan merupakan penyandang kerusi DUN Chennah selepas memenanginya pada PRN yang lalu dengan majoriti 2,200 undi.
Sabtu lalu, DAP Negeri Sembilan menyatakan hasrat untuk mempertahankan rekod cemerlang dengan memenangi semua 11 kerusi DUN yang bakal ditandingi pada PRN Negeri Sembilan ke-16 kali ini.
Setiausaha DAP negeri, Cha Kee Chin, berkata parti berkenaan akan meneruskan usaha memperkukuh sokongan rakyat berdasarkan rekod pencapaian dan perkhidmatan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran semasa.
Pada PRN 2023, PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas menang 31 daripada 36 kerusi secara keseluruhan.
PH menang 17 kerusi, BN (14) manakala baki lima kerusi lagi dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN).
Namun, PRN kali ini menyaksikan BN dan PH masing-masing bergerak secara berasingan apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan gabungan itu akan bertanding secara solo dalam PRN Negeri Sembilan 2026.
Katanya, keputusan itu diambil berikutan tindakan PH yang telah mengumumkan keputusan mereka untuk meletakkan calon di kesemua 36 kerusi DUN di negeri berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembahagian 36 kerusi DUN Negeri Sembilan menyaksikan PKR bertanding di 16 kerusi, DAP (11) dan Amanah (sembilan).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.