Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Manifesto BN gariskan 88 usaha berpandukan sembilan kluster teras

TB_PRN N9_AWANI 1.jpg
Barisan Nasional (BN) mengumumkan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama sebagai manifestonya sempena Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16). - Astro AWANI
Advertisement

SENDAYAN: Barisan Nasional (BN) mengumumkan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama sebagai manifestonya sempena Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Manifesto tersebut ditambah dengan 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan satu Unit Penyelerasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk Kerajaan Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.

Manifesto bertemakan “Hebatkan Semula Negeri Sembilan, Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta” itu diumumkan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Mohamad, manifesto yang dibentangkan bagi PRN16 kali ini bukan sekadar himpunan janji politik, sebaliknya komitmen yang realistik dan mampu dilaksanakan.

“Saya katakan tadi bahawa kita tak bina manifesto yang janji yang bukan-bukan. Kita tidak akan bentangkan manifesto yang tak boleh kita lakukan. Kita tak mahu kata bahawa kita tak sangka kita menang dan manifesto ini bukan kitab suci.

“Kita nak bentangkan manifesto, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saudara-saudari sekalian, adalah manifesto yang boleh kita lakukan berasaskan kepada pengalaman kita yang lalu.

“Dan dengan tambahan beberapa isu yang perlu kita lakukan untuk kita pastikan Negeri Sembilan terus maju dan Negeri Sembilan terus menjadi sebagai negeri yang boleh bersaing sebagai sebuah negeri yang membangun dan maju dalam negara kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Manifesto BN, di sini, pada Jumaat.

Antara sembilan teras utama tersebut melibatkan teras pertama iaitu ekonomi dan pembangunan, seterusnya memfokuskan taraf hidup, kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan pendidikan moral insan, belia, wanita dan keusahawanan.

Seterusnya, enam teras lain melibatkan pertanian, agromakanan, pembangunan desa dan Felda, kelima memfokuskan kediaman dan perumahan serta alam sekitar dan pelancongan.

Manakala teras ketujuh memfokuskan agama, adat budaya, seterusnya warisan dan masyarakat Orang Asli.

Sementara teras kelapan memfokuskan sukan, rekreasi dan perpaduan serta teras terakhir melibatkan penyampaian perkhidmatan.
 

Must Watch Video

Advertisement