Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Polis akan panggil Sanusi, Ketua Penerangan UMNO Rembau bantu siasatan

PRN, Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad
Alzafny bercakap pada Sidang Media Undi Awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

NILAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Ketua Penerangan UMNO Rembau, Shukri Shamsuddin bagi membantu melengkapkan siasatan berhubung dua kes berasingan berkaitan kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua individu berkenaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, bagi kes melibatkan Sanusi, pihak polis telah menerima dua laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Pilihan Raya Pas itu.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini kita telah pun merakam percakapan beberapa orang saksi dan kita belum lagi mengambil percakapan Datuk Seri Sanusi.

“Tindakan segera akan dilaksanakan oleh pihak kita,” katanya pada Sidang Media Undi Awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi kes melibatkan Shukri, Alzafny berkata, polis menerima 11 laporan polis sehingga semalam (27 Julai) berhubung kenyataan yang disiarkan di media sosial yang mengaitkan institusi istana dengan parti politik.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, media melaporkan Sanusi ketika memberi ucapan dalam ceramah perdana BN-PN di Jempol baru-baru ini mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.

Sanusi antara lain menegaskan Malaysia satu-satunya tanah yang menjadi tempat perlindungan bagi orang Melayu, sama seperti negara lain yang mempunyai kaum asal masing-masing.

Dalam perkembangan berasingan, media melaporkan Shukri menerusi video tular baru-baru ini mendakwa Istana Negeri Sembilan ‘dipegang’ oleh parti DAP.

Istana Negeri Sembilan kemudian dalam kenyataannya menegaskan sebarang dakwaan yang mengaitkan pihaknya dengan mana-mana parti adalah tidak benar.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari mengundi bagi 889,490 juta pemilih ditetapkan Sabtu ini.

Must Watch Video

Advertisement