SEREMBAN: Kesemua 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 ditutup secara rasmi pada 6 petang ini, menandakan berakhirnya proses pengundian yang bermula seawal 8 pagi.
Penutupan pusat mengundi dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh tujuh daerah negeri ini selepas para pengundi selesai menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Menurut SPR, peratusan keluar mengundi setakat 4 petang mencecah 65.38 peratus, bersamaan 562,133 daripada keseluruhan 859,760 pengundi biasa berdaftar di negeri itu.
SPR sebelum ini menyasarkan kadar peratusan keluar mengundi antara 72 hingga 75 peratus bagi pilihan raya kali ini.
Sejurus tamat pengundian, petugas pilihan raya memulakan proses menutup dan mengunci peti undi sebelum dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi bagi tujuan pengiraan.