TAMPIN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan terawal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan esok, akan mula diketahui seawal jam 10 malam.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya juga meletakkan sasaran untuk memperoleh keputusan penuh proses pengundian tersebut sebelum jam 12 tengah malam.
Beliau berkata, SPR turut memberi jaminan keselamatan tahap tertinggi ke atas semua peti undi serta peralatan pilihan raya menjelang hari pengundian PRN Negeri Sembilan esok.
“Kita cuba untuk mengeluarkan keputusan paling awal, dalam pukul 10 malam esok. (Manakala) keputusan penuh kita cuba sebelum pukul 12 tengah malam.
"Dan kita harap sebelum pukul 12 itu, kita dapat mengemukakan keputusan yang telah pun mengambil kira semua keputusan di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan bagi proses semakan peti-peti undi di Dewan Perdana Tampin, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai persiapan logistik dan teknikal menjelang hari pengundian esok, Ramlan mengesahkan seluruh pusat mengundi di Negeri Sembilan kini berada pada tahap kesiapsiagaan 100 peratus untuk menerima kehadiran para pengundi.
Jelasnya, proses semakan dan persiapan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan di semua pusat penjumlahan undi yang melibatkan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
“Setakat ini, semua pusat-pusat mengundi telah pun bersedia untuk menerima pengundi pada hari esok yang akan bermula daripada pukul 8 pagi.
“Berdasarkan kepada tinjauan yang kami buat, semuanya telah berada dalam keadaan siap siaga dan insya-Allah proses ini akan dapat berjalan dengan lancar esok, tiada masalah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, katanya, seramai 859,760 daripada 889,490 pengundi berdaftar di Negeri Sembilan dijangka menunaikan tanggungjawab mereka esok.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, seramai 7,391 pengundi telah selesai menjalankan pengundian secara pos.
Beliau berkata, sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,669 saluran akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang esok bagi membolehkan pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing.