Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Tirai kempen berlabuh, pengundi tentukan kerajaan negeri esok

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang memasuki penghujung minggu pertama hari ini menyaksikan parti-parti politik yang bertanding masih meneruskan kempen secara sederhana. Suasana kempen turut dilihat belum begitu rancak apabila pemasangan bendera parti masih tertumpu di beberapa lokasi strategik seperti dewan, balai raya, jalan utama, jalan kampung, jejantas dan jambatan. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Persaingan sengit menyaksikan sekurang-kurangnya 12 DUN dikenal pasti sebagai kerusi tumpuan, iaitu Linggi, Klawang, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Ampangan, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Labu, Kota dan Gemas. --fotoBERNAMA
Advertisement

SEREMBAN: Detik penentuan siapa yang bakal menerajui Kerajaan Negeri Sembilan semakin hampir apabila kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 memasuki hari terakhir hari ini, dengan parti-parti yang bertanding terus memperhebat usaha meraih sokongan menerusi siri ceramah, program turun padang dan kempen digital sebelum 867,151 pengundi menentukan mandat bagi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Tirai kempen bakal dilabuhkan tepat 11.59 malam ini selepas berlangsung selama 14 hari, menyaksikan pelbagai manifesto, tawaran dan strategi diketengahkan sepanjang tempoh kempen bermula 18 Julai lepas, dengan isu kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan serta kebajikan rakyat antara fokus utama parti-parti yang bertanding dalam usaha meyakinkan pengundi.

Bermula 8 pagi esok, tumpuan beralih kepada 401 pusat mengundi di seluruh negeri apabila 103 calon menanti keputusan rakyat yang bakal menentukan barisan kepimpinan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kini, segala percaturan politik serta tawaran yang dibawa sepanjang tempoh kempen diserahkan kepada rakyat untuk diterjemahkan menerusi peti undi, sekali gus menentukan hala tuju pentadbiran Negeri Sembilan.

Fasa penting proses demokrasi itu turut menyaksikan pengundian awal selesai pada Selasa lepas dengan merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 91.06 peratus membabitkan 14,995 pengundi terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta pasangan mereka.

Kehadiran Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam beberapa siri program kempen sehingga malam tadi turut memberi suntikan semangat kepada jentera parti serta usaha meraih sokongan pengundi.

Penganalisis politik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata pilihan raya kali ini menyaksikan tumpuan kini terarah kepada corak pengundian, khususnya dalam kalangan pengundi muda yang berpotensi menjadi penentu keputusan di beberapa kerusi.

Beliau berkata pengundi berusia 18 tahun ke atas mampu mengubah pola dan “algoritma” pengundian sekiranya kumpulan itu keluar mengundi dalam jumlah yang tinggi, sekali gus memberi kesan kepada persaingan di kerusi-kerusi marginal.

“Pada peringkat ini, semua parti telah menyampaikan naratif dan tawaran masing-masing. Penentu sebenar kini ialah sejauh mana mereka berjaya menterjemahkan sokongan itu kepada undi pada hari pengundian, terutama dalam kalangan pengundi muda.

“Secara keseluruhannya, kita dapat melihat pengundi hari ini semakin matang dalam menilai sesuatu isu dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kempen tradisional. Pada masa sama, pengaruh media sosial semakin besar dalam membentuk persepsi serta mempengaruhi keputusan pengundi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM Prof Dr Mohd Faizal Kasmani pula berpendapat peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kali ini berpotensi melonjak melebihi 70 peratus, didorong oleh peningkatan kesedaran serta penglibatan aktif golongan pengundi muda di platform media sosial.

Beliau berkata kehangatan kempen pilihan raya serta peranan media sosial yang amat aktif ketika ini menjadi pemangkin utama untuk menarik pengundi, terutamanya pengundi baharu.

“Pada pilihan raya lepas, peratusan mengundi berada sekitar 68 peratus. Namun kali ini, dengan ‘kehangatan’ kempen PRN dan penglibatan aktif anak muda di media sosial yang giat menceritakan perihal pilihan raya, kita harapkan semangat ini menterjemahkan kehadiran yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai dinamika pengundi di Negeri Sembilan berkata landskap politik negeri berkenaan agak sengit berbanding Johor, sekali gus menjadikan persaingan terutamanya dalam kalangan pengundi atas pagar semakin sengit menjelang hari pengundian.

Mohd Faizal berkata persaingan sengit itu menyaksikan sekurang-kurangnya 12 kerusi DUN dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan susulan majoriti rendah pada pilihan raya lepas, antaranya Linggi, Klawang, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Ampangan, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Labu, Kota dan Gemas.

PH bertanding di semua 36 kerusi DUN, diikuti BN (25) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), Perikatan Nasional (PN) (11), empat calon Bebas manakala Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement