Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: UMNO perlu ambil iktibar, lebih beradab - Syed Ali

Syed Ali Alhabshee
Syed Ali berkata pemimpin perlu berpegang kepada amanah dalam menyantuni permasalahan rakyat secara bersemuka dan tidak mengelak daripada bertemu pengundi yang memerlukan perhatian serta pertolongan - Foto/Fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengambil iktibar daripada kemenangan besar Barisan Nasional (BN) bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 semalam, khususnya dengan memastikan pemimpinnya sentiasa merendah diri dan dekat dengan rakyat.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata keputusan itu seharusnya menjadi teladan kepada pemimpin politik bahawa rakyat akan menolak mereka yang menjauhkan diri selepas diberikan kuasa dan jawatan.

"Pemimpin UMNO diingatkan supaya lebih beradab dan merendah diri mendampingi serta menyelesaikan apa juga permasalahan rakyat.

"Setelah berkuasa, jangan ada pagar sempadan untuk bertemu masyarakat setempat termasuk membiarkan orang keliling berlagak 'lebih sudu daripada kuah' sehingga timbul kebencian orang ramai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi, membolehkan gabungan itu menguasai 25 kerusi dan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.

Keputusan itu menyaksikan perubahan ketara berbanding PRN ke-15 pada 2023 apabila BN memenangi 14 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 17 kerusi dan PN lima kerusi.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata pemimpin perlu berpegang kepada amanah dalam menyantuni permasalahan rakyat secara bersemuka dan tidak mengelak daripada bertemu pengundi yang memerlukan perhatian serta pertolongan.

"Sebagai contoh, jika rakyat ingin berjumpa dengan pemimpin mereka, jangan ditolak ke sana sini dengan pelbagai alasan dan sebarang pesanan sewajarnya segera dijawab secara berhemah.

"Jadikanlah teladan dan iktibar apabila diberikan kuasa dan jawatan agar tidak bersikap sombong, lupa daratan dan bermegah-megah sehingga mencetuskan kebencian rakyat," katanya.

Beliau menambah pemimpin UMNO khususnya perlu bermuhasabah dan belajar daripada pengalaman lalu apabila kebangkitan gelombang kebencian rakyat pernah menyebabkan parti itu kehilangan kuasa.

Dalam pada itu, Syed Ali turut menggesa PH menerima keputusan PRN Negeri Sembilan secara terbuka dan tidak menyalahkan rakyat negeri itu atas kekalahan gabungan berkenaan.

Beliau mendakwa PH perlu menerima realiti bahawa rakyat sudah bosan dan tertekan dengan pelbagai isu yang melingkari kehidupan harian mereka.

"Malah tuduhan pemimpin PH kononnya BN-PN meniupkan sentimen 'Melayu terancam' sepanjang kempen PRN menyumbang kepada kekalahan teruk DAP juga merupakan alasan dangkal yang cuba menutup kelemahan sendiri," ujarnya lagi.

Syed Ali berkata pengundi Negeri Sembilan telah membuktikan kematangan mereka dalam memilih pemimpin yang benar-benar menjiwai denyut nadi rakyat, bukannya bermain dengan retorik politik yang sarat dengan sangkaan dan mencari salah orang lain.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan PH bertanding di semua kerusi, BN di 25 kerusi dan PN di 11 kerusi.

 

Must Watch Video

Advertisement