SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan terbuka untuk menjalinkan sebarang bentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
 
Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu bagaimanapun hanya akan diputuskan pucuk pimpinan parti masing-masing.
 
Ujar Aminuddin beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk merealisasikan perkara berkenaan, namun setakat ini belum ada pertemuan antara beliau dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan hal tersebut.
 

Malahan katanya di peringkat PH, kata putus akan dibuat oleh Majlis Presiden PH dan keputusan itu akan dilaksanakan bukan sahaja pada PRN Negeri Sembilan nanti, ianya termasuk Selangor dan Pulau Pinang.
 
“Kita telah minta supaya pucuk pimpinan parti, Majlis Presiden PH untuk berbincang dan kita tunggu hingga hujung bulan ini untuk mengetahui apa tindakan kita seterusnya,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bagi Mangsa Banjir Pantai Timur di sini hari ini.
 
Dalam pada itu, ketika diaju soal terdapat dakwaan berlaku kesukaran untuk mengadakan rundingan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, itu hanya pandangan sesetengah pihak sahaja.
 
Semalam Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tidak timbul soal kesukaran dalam rundingan kerjasama di antara PH dan BN bagi menghadapi PRN akan datang.
 
Sebaliknya parti-parti terlibat masih mempunyai tempoh yang panjang dan apabila tiba masa yang sesuai, sudah pasti keputusan berhubung perkara itu akan dimuktamadkan.
 
Enam buah negeri yang akan terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.