KEPALA BATAS: Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang melancarkan manifesto dengan lapan teras dan 33 tawaran untuk rakyat negeri ini sekiranya berjaya mengambil alih kerajaan negeri pada 12 Ogos depan.

Timbalan Presiden PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, lapan teras yang digariskan bagi memacu keutuhan ekonomi dan menangani kos sara hidup, menjamin kesejahteraan rakyat, meningkatkan akses pemilikan rumah dan menjamin kualiti perkhidmatan kesihatan serta memeliharan kelestarian alam.

Selain itu, katanya PN mahu memperkukuh jaringan pengangkutan, memacu sektor pelancongan dan memupuk politik matang.

"Bagi menjayakan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang, tawaran pertama PN yang akan diketengahkan ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi lepasan sekolah, graduan universiti dan juga kepada mereka yang masih lagi menganggur.

"Bagi menggalakkan lagi penglibatan anak muda dalam industri, PN akan memperuntukkan RM 1.5 juta sebagai subsidi kepada anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat swasta yang terlibat dengan program Latihan Industri Pulau Pinang," katanya pada majlis pelancaran manifesto PN di sebuah hotel sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Pesuruhajaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pulau Pinang, Zulkifli Bakar dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong.

Dalam pada itu, Dominic yang juga Presiden Gerakan berkata, bagi merangsang lagi pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan penduduk, PN akan menyediakan Geran Modal Mikro yang bernilai hingga RM10 juta.

Jelasnya, geran ini menyasarkan mereka yang terlibat dengan aktiviti keusahawanan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuklah usahawan digital.

Beliau berkata, tidak dilupakan juga golongan nelayan berlesen yang setiap hari bergolok-bergadai meredah ombak laut. Sebanyak RM5 juta akan disediakan sebagai insentif bantuan pukat, bot gentian dan juga enjin bot.

"Pulau Pinang dikenali sebagai salah satu destinasi utama 'food hunting' di Malaysia. Sejajar dengan hal ini, sekiranya diberi mandat PN akan mewujud dan melaksanakan Dasar Mesra sektor penjajaan makanan.

"Malah Fi lesen penjaja kecil yang terlibat juga akan dikecualikan bagi memastikan usaha Pulau Pinang sebagai peneraju hab pelancongan makanan bertaraf antarabangsa dapat dijayakan," tambahnya lagi.

Bagi menggalakkan lagi peningkatan taraf pendidikan anak-anak muda, Dominic berkata, PN akan memberikan RM1,200 kepada semua anak Pulau Pinang yang akan mendaftar di institut pengajian tinggi (IPT) termasuk juga di institut pendidikan guru (IPG).

Tambahnya, bagi semua pelajar baharu di matrikulasi dan Tingkatan Enam pula akan diberi sebanyak RM500 setiap orang.

"Kita juga tidak meminggirkan sekolah yang beraliran agama, sebanyak RM 14 juta akan diperuntukkan bagi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina dan juga Sekolah Tamil.

"Sejajar dengan hasrat ini juga sebanyak RM1 juta akan disediakan sebagai Dana Prihatin PIBG kepada semua sekolah kerajaan di Pulau Pinang," ujarnya.

Sementara itu, calon PN bagi kerusi Bayan Lepas itu berkata, golongan warga emas dan juga mereka yang kurang bernasib baik juga akan tetap menjadi wadah perjuangan utama PN menerusi Bantuan Mutiara Prihatin sebanyak RM60 juta.

Jelasnya, bantuan itu akan menyasarkan warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), pemandu teksi serta pemandu bas sekolah.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian