POLITIK
PRN Sabah: Amanah hormat keputusan BN tidak kerjasama dengan GRS - Mujahid

Mujahid berkata Amanah menyasarkan untuk bertanding di lima kerusi DUN pada PRN17 Sabah nanti. - Gambar Facebook Dr Mujahid Yusof Rawa
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) menghormati keputusan Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata parti itu mengutamakan kestabilan politik serta perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan dan PRN Sabah perlu berfokuskan kepada kepentingan rakyat, bukan politik semata-mata.
"Dalam apa jua keadaan pun, Amanah melihat perkara terbaik yang boleh kami lakukan adalah bermusyawarah bersama, bagi mencari kata sepakat yang terbaik," katanya dalam sidang media sebelum merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan di Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata UMNO dan BN Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS, namun kekal menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Sabah.Selain itu, Mujahid berkata parti itu menyasarkan untuk bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN17 Sabah nanti.
DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami