PRN Sabah: Anifah Aman calon GRS di DUN Bongawan

Tan Sri Anifah Aman dinamakan sebagai calon GRS bagi kerusi DUN Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. - Foto Bernama
BONGAWAN: Tan Sri Anifah Aman dinamakan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadual pada 29 November ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu Majlis Ramah Mesra Hajiji bersama rakyat Bongawan di Dewan Bongawan pada Isnin.
Beliau mahu Bongawan yang kini disandang oleh parti pembangkang, kembali diwakili parti kerajaan supaya boleh dimajukan seperti slogan Bongawan Maju.
“Saya amat yakin kawasan ini (Bongawan) ini dan kita mahu menang di kawasan ini pada PRN nanti.
“Saya yakin Tan Sri Anifah yang dahulunya Ahli Parlimen Kimanis banyak jasa beliau kepada kawasan Bongawan ini. Sehubungan itu, saya memohon kita Bersatu hati, satu tenaga memantapkan jentera untuk memastikan kemenangan GRS di Bongawan,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Selain Bongawan, Hajiji juga menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan GRS untuk kembali membentuk kerajaan selepas PRN Sabah pada 29 November nanti.
Sementara itu, Hajiji mengingatkan pentingnya semua bersatu hati bagi memastikan wujud kestabilan politik di Sabah yang diterjemahkan menerusi sokongan pada PRN nanti.
Katanya, sekiranya GRS kembali membentuk kerajaan, pelbagai lagi program ekonomi akan dirancang untuk rakyat sepanjang tempoh lima tahun akan datang.
Berikutan itu, Hajiji mengingatkan agar rakyat tidak mempercayai dakyah pembangkang dan terpengaruh dengan retorik, fitnah dan pembohongan mereka.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

