POLITICS
PRN Sabah: BN sedia bekerjasama dengan parti tempatan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bercakap kepada media selepas Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini, pada Khamis. - Foto Abdul Wafi Norazmi
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BH) sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik tempatan di Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Ringkasan AI
- Barisan Nasional (BN) terbuka untuk bekerjasama dengan parti politik tempatan di Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, termasuk meneroka kemungkinan pembentukan gabungan besar bersama Pakatan Harapan (PH) dan pihak lain.
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan kepentingan penyelarasan antara organisasi politik pusat dan negeri bagi menjamin kestabilan serta penerimaan rakyat. Rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah dilakukan dan BN terbuka untuk berbincang dengan lebih banyak pihak.
- Kerjasama politik ini bertujuan mewujudkan kestabilan antara kerajaan negeri dan pusat, dengan semua pemimpin politik diseru untuk melihatnya sebagai langkah positif yang perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan sebenar.
“Apa yang penting ialah mana-mana parti politik atau gabungan politik yang berpengkalan di pusat wajib bekerjasama dengan parti atau gabungan politik di Sabah,” katanya selepas Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini, pada Khamis.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, penyelarasan antara organisasi politik di peringkat pusat dan negeri adalah penting bagi menjamin kestabilan dan penerimaan rakyat.
“Ini wajib dilakukan kerana kita mengetahui bahawa kombinasi antara organisasi politik pusat dan organisasi politik negeri mesti disantuni dan diterjemahkan sebagai satu realiti,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau memaklumkan bahawa beberapa siri perbincangan sudah pun diadakan sebelum ini.
“Saya telah banyak kali mengadakan perbincangan dengan mereka. Insya-Allah bukan sahaja dengan GRS tetapi kami juga terbuka untuk mengadakan perundingan dengan parti-parti politik lain di Sabah,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya jangkaan bila kata putus akan dicapai, beliau menjawab secara berseloroh bahawa tiada ramalan dapat dibuat.
“Saya tidak ada jangkaan tertentu kerana saya tidak mempunyai lampu Aladdin untuk membuat sesuatu itu secara keajaiban. Namun seperti yang disebut Perdana Menteri, kita mahu kestabilan politik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat adalah demi kepentingan rakyat sebagai pemegang taruh utama,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami