PRN Sabah: BN tampil 81 peratus muka baharu, tawaran baharu untuk Sabah

Bung MOktar berkata, UMNO Sabah berada dalam keadaan siap siaga yang penuh semangat 100 peratus untuk berdepan dengan PRN17 akan datang. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah bakal menampilkan ‘calon segar’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, dengan 81 peratus daripada mereka merupakan muka baharu.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus diisi oleh calon muda dalam usaha memenangi mandat pada pilihan raya tersebut.
Beliau berkata, senarai penuh calon dan agihan kerusi akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon.
“Pada ketika itu juga kita akan melancarkan jentera pilihan raya BN dan kita akan melancarkan janji tawaran baharu iaitu ‘Rancangan Pembangunan Sabah 1’ kepada rakyat negeri Sabah.“UMNO Sabah berada dalam keadaan ‘mood’ siap siaga yang penuh semangat 100 peratus untuk berdepan dengan PRN17 akan datang ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat UMNO di sini pada Isnin.
Ditanya mengenai jumlah kerusi, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, BN Sabah mencadangkan sebanyak 48 kerusi, namun ia masih belum dimuktamadkan.
Beliau juga memaklumkan BN Sabah kekal bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mengekalkan kestabilan politik di seluruh negara.
UMNO Sabah katanya, akan menggerakkan kekuatan jentera parti seramai 614,994 orang menjelang PRN17.
Daripada jumlah itu, seramai 474,252 orang merupakan ahli yang layak mengundi.
Dalam pada itu, Bung Moktar memaklumkan antara tawaran baharu pada PRN17 ialah mewujudkan Tabung Keamanan Negeri yang mengutamakan masa depan rakyat negeri itu.
Mengulas mengenai masalah 'tiga serangkai' di Sabah, beliau berkata BN Sabah komited untuk menyelesaikan isu bekalan air bersih dalam tempoh tiga tahun sekiranya diberi mandat dalam PRN17.
Bung Moktar menyifatkan masalah air sebagai krisis paling kritikal yang membebankan rakyat, berbanding isu jalan raya dan elektrik yang menurutnya lebih mudah diselesaikan dengan perancangan serta tekanan kepada Kerajaan Persekutuan.
"Jalan raya ia (isu) 'straight forward', cuma perlu tekanan. Contohnya, Lebuhraya Pan Borneo, Kerajaan Negeri perlu memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan peruntukan.
"Hal bekalan elektrik pun 'straight forward'... Yang masalah utama sekarang ini air bersih," ujar beliau.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami