PRN Sabah: DAP umum tanding 8 kerusi, Phoong Jin Zhe berpindah ke Likas

Anthony (empat, kiri) ketika Majlis Pengumuman Calon PH-DAP dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya, di sini hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA KINABALU: DAP Sabah bertanding di lapan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sekali gus menambah satu kerusi berbanding tujuh yang ditandingi pada PRN Sabah ke-16.
Ringkasan AI
- DAP Sabah bertanding di lapan kerusi dalam PRN akan datang, tambah satu kerusi berbanding PRN Sabah ke-16, menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
- Calon 'heavyweight' DAP, Datuk Chan Foong Hin bertanding di DUN Tanjung Aru menentang Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong; DAP letakkan separuh calon wanita bagi mengangkat peranan wanita sebagai pemimpin.
- Calon wanita akan diumumkan untuk kerusi di kawasan pedalaman; beberapa calon termasuk Vivian Wong dan Tang Szu Ching diletakkan di kawasan tertentu bagi PRN Sabah.
Anthony berkata, separuh daripada calon yang diketengahkan kali ini adalah wanita, sebagai komitmen parti dalam mengangkat dan memartabatkan peranan wanita sebagai pemimpin.
“Kita mengamalkan dasar kesaksamaan gender. Ini adalah penghormatan kepada wanita dan keyakinan bahawa mereka juga mampu menjadi pemimpin hebat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon PH-DAP dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya, di sini.
Bagaimanapun, Anthony memaklumkan satu lagi kerusi di kawasan pedalaman akan diumumkan dalam masa terdekat, dan ia juga diwakili oleh calon wanita.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong diletakkan di DUN Elopura, sementara Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Tang Szu Ching bertanding di Tanjong Papat.
Kerusi Tanjong Papat disandang oleh bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung yang telah mengumumkan keluar DAP pada 11 Oktober lalu.
Selain itu, Philip Yap Wui Lip, yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Sabah merangkap Ahli Majlis Perbandaran Tawau menjadi sandaran untuk mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Sri Tanjong.
Naib Pengerusi DAP Sabah, Jannie Lasimbang pula akan mempertahankan kerusi DUN Kapayan.
Seorang lagi ialah Ketua DAPSY Sabah, Chan Loong Wei - calon paling muda berusia 25 tahun akan bertanding di kerusi Luyang.
Pada PRN Sabah ke-16, DAP menang enam daripada tujuh kerusi yang ditandingi, iaitu Luyang, Likas, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjong Papat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November sebagai hari pengundian, manakala 15 November dan 25 November masing-masing sebagai hari penamaan dan undi awal.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

