Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah ada resipi tersendiri dari segi kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 nanti.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram akan diguna pakai sepenuhnya sepanjang kempen itu berlangsung.

Jelas Hajiji, langkah itu juga diyakini mampu menarik minat, matlamat ceramah atau kempen sampai sekali gus memastikan keselamatan pengundi ketika pandemik COVID-19.

"PRN Sabah kali ini cukup istimewa diadakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19. Sudah pasti kita tidak akan dibenarkan untuk berkumpul terutama ketika kempen-kempen dan ceramah seperti pilihan raya umum dahulu.

"Atas sebab itu, Bersatu Sabah memikirkan cara baharu ketika berkempen iaitu dengan menggunakan media sosial. Kita akan buat juga kempen dengan kapasiti yang dibenarkan tetapi dalam masa sama akan ada penstriman melalui digital. Saya pasti cara ini boleh diterima pengundi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di pejabatnya di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Hajiji memberi jaminan kerjasama dan kesepakatan Bersatu Sabah bersama rakan sekutu seperti Barisan Nasional (BN) dicapai dalam misi mereka memenangi PRN kali ini.

Katanya, tiada timbul isu saling tikam belakang antara rakan dalam gabungan.

"Saya berharap pemimpin kita daripada Bersatu, Perikatan Nasional, PBS, STAR menggunakan kebijaksanaan mereka. (Ini) kerana matlamat kita untuk menang bukan mahu merebut kerusi pada PRN kali ini," katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom pada sidang media mendedahkan PRN Sabah tetap diadakan pada 26 September 2020.

Manakala tarikh penamaan calon diadakan pada 12 September sementara 22 September sebagai tarikh mengundi awal.