Berbaki satu hari lagi sebelum proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula,Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin rakyat Sabah akan memberi sokongan teguh kepada parti itu.

Setelah menjelajah ke seluruh pelusuk negeri itu, Shafie mengakui, sokongan rakyat di peringkat akar umbi kepada Warisan masih padu.

"Hari ini hari akhir kempen berpeluang bertemu rakyat di Kunak. Daripada jelajah yang saya telah lakukan selama beberapa bulan, Insya-Allah kalau berdasarkan dengan apa yang kita lihat, rakyat akan beri sokongan kepada parti Warisan dan rakan-rakan," ujar beliau pada Majlis Realisasi bersama rakyat di Kampung Cenderawasih Batu 5, di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis itu penyandang yang juga calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Norazlinah Arif.

Ditanya berkenaan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menang PRN kali ini, Shafie enggas mengulas panjang.

"Dia boleh buat kenyataan, tetapi kita kena tunggu hari pengundian. Kita serahkan kepada Allah. Kita yakin kita sudah usaha, (sekarang) serah kepada Tuhan," katanya.

Hari terakhir kempen, memperlihatkan Shafie menyusun aktiviti kempen beliau di beberapa kawasan dalam daerah Kunak.