GEDONG: Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin rakyat Sarawak mampu menilai pencapaian Gabungan Rakyat Sarawak (GPS) sejak parti itu mentadbir negeri ini.

Justeru, Ketua Menteri Sarawak itu, berkata para pengundi akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan yang bakal menguruskan Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong itu menambah, GPS dijadual mengumumkan manifesto pada 8 Disember ini.

"Setakat ini apa kita telah janjikan pada 2016, telah kita tunaikan walaupun ada pihak katakan manifesto ini bukanlah macam kitab.

"Tetapi pada kita ia adalah satu perjanjian yang harus kita laksanakan sebaik mungkin.  Saya harap kerajaan sekarang ini mempunyai dasar-dasar sosial dan ekonomi hingga 2030.

"Disebabkan COVID-19, kita nak pulihkan keadaan ekonomi kita, dan saya harap rakyat juga akan mainkan peranan melihat masa depan Sarawak bagi anak cucu mereka di masa hadapan," katanya dalam sidang media selepas penamaan calon, di sini pada Isnin.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12, Abang Johari memilih untuk keluar daripada zon selesa beliau selepas memutuskan bertanding di DUN Gedong.

Pengerusi GPS itu akan berdepan saingan daripada tiga calon.

BACA: PRN Sarawak: Tiga calon 'tentang' Abang Johari di DUN Gedong

Ia masing-masing daripada calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbin; Tomson Ango (Parti Bumi Kenyalang); serta Kamal Bujang (Amanah).

BACA: Saya dilabel 'giant killer' - Calon PSB tidak gentar berdepan Abang Jo

Dalam masa yang sama, Abang Johari turut menyifatkan proses demokrasi Sarawak dihidupkan selepas menyaksikan proses penamaan calon di DUN Gedong berjalan dengan lancar.

Beliau berharap semua parti dan calon yang bertanding boleh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selain itu, Abang Johari turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan agensi yang terlibat dalam memastikan kelancaran PRN12 Sarawak.

Terdahulu, 82 pusat penamaan calon secara rasmi ditutup pada pukul 10 pagi.

SPR menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian, manakal 14 Disember ini sebagai pengundian awal.