GEDONG: Pengerusi Parti Gabungan Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg berdepan tentangan daripada tiga calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.

Tiga calon tersebut masing-masing daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Tomson Ango dan Parti Amanah Negara (Amanah), Kamal Bujang.

Seorang lagi yang turut memberi saingan kepada Ketua Menteri Sarawak itu ialah Mohamad Sofian Fariz Sharbin dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Ia sekali gus menyaksikan DUN N.26 Gedong akan berdepan saingan empat penjuru pada pilihan raya kali ini.

Perkara itu turut disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.26 Gedong, Abdul Khalid Manap ketika mengumumkan senarai calon pada pukul 10.20 pagi tadi.

Terdahulu, Abang Johari selesai menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.02 pagi.

Ia kemudian diikuti  Tomson (PBK) 9.04 pagi, manakala Kamal (Amanah) pada pukul 9.11 pagi dan Sofian (PSB) pada 9.14 pagi.

Pada PRN11, DUN Gedong menyaksikan saingan tiga penjuru.

Ia dimenangi oleh Datuk Naroden Majais yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 3,365 undi, menewaskan calon Amanah, Rapelson Richard Hamit dan calon Bebas, Uja Bensi.

PRN Sarawak | 7,208 pengundi akan memilih wakil rakyat di DUN Gedong


Abang Johari merupakan penyandang kerusi DUN Satok sejak sembilan penggal lalu.

Namun, pada PRN12, beliau mengambil keputusan ‘mengubah angin’ untuk bertanding di DUN Gedong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN12 Sarawak, manakala undi awal pada 14 Disember.

Sebanyak 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) seramai rasmi ditutup tepat pukul 10 pagi tadi.

Seramai 1,252,014 orang pengundi di negeri itu layak mengundi dalam PRN12 Sarawak.