NIAH: Datuk Rosey Yunus dijangka dicalonkan semula oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Ia sekali gus menjadikan Rosey antara calon wanita GPS yang akan bertanding pada PRN12 selepas penyandang DUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Memberi bayangan itu ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Waterfront Niah Fasa II, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Rosey dilihat mampu membawa kemajuan di luar bandar selain mudah untuk didekati rakyat.

"Rosey nanti akan bekerja keras. Saya harap insyaallah kalau kitak (masyarakat Bekenu) bersetuju. Kitak mahu Rosey terus berkhidmat, saya akan umumkan," katanya.

Terdahulu Rosey dalam ucapannya mengharapkan agar kerajaan menjadikan daerah kecil Niah dinaik taraf menjadi daerah penuh dalam usaha merancakkan lagi pembangunan di kawasan sekitar termasuk Subis dan Bekenu.

Namun ujar Rosey, untuk mencapai kemajuan itu, Sarawak harus dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil.

"Kita harus mempunyai kerajaan yang stabil, mempunyai sumber kewangan yang pelbagai dan kukuh. Jadi mari kita jadikan kemenangan GPS di Bekenu sebagai hadiah kepada Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari," katanya.

Empat calon wanita GPS menyertai DUN Sarawak iaitu ADUN Dalat Datuk Seri Fatimah Abdullah, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang), Datuk Rosey Yunus (Bekenu) dan Semoi Peri (Lingga).

Manakala, Puan Sri Jamilah Anu memenangi ADUN Tanjung Datu dalam Pilihan Raya Kecil 2017.

Pada PRN11, Datuk Rosey Yunus menang dengan majoriti 4,789 mengalahkan tiga calon lain iaitu Bill Kayong (PKR), Austin Sigi Melu (Bebas) dan Jou @ Peter Jelin (Bebas).