KUCHING: Kalangan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak gembira dan bersyukur dengan keputusan Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju menarik diri daripada saingan di DUN Krian.

Setiausaha Bersatu Negeri Sarawak, Ibrahim Mohamad berkata, pihaknya (pimpinan Bersatu Negeri Sarawak) berada dalam dilema dan tidak senang hati dengan tindakan yang diambil Ali sebelum ini.

"Datuk Ali merupakan “heavyweight” dalam Bersatu Sarawak dan tindakan mencalonkan diri dalam PRN12 dilihat menyukarkan parti yang telah menyatakan sokongan penuh kepada GPS dan tidak bertanding di PRN12 seperti perjanjian pucuk pimpinan tertinggi kedua-dua parti," katanya.

Ibrahim memberitahu, pihaknya merakamkan terima kasih kepada Datuk Willie Mongin dan Senator Jaziri Alkaf serta kepemimpinan Bersatu Negeri yang telah bersungguh-sungguh memujuk Ali untuk berundur.

"Semoga dengan pengunduran ini, kepercayaan dan setiakawan GPS kepada Parti Bersatu terus erat dalam mengharungi PRN12 ini," katanya.

Ibrahim turut menyeru para penyokong Ali di DUN Krian memberi sokongan penuh kepada calon GPS, Friday Belik.

Pada 9 Disember lalu, Ali dalam satu kenyataan mengumumkan menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas di DUN Krian pada PRN12 kali ini.

Tambah Ali, keputusan tidak bertanding itu dibuat bagi memperkukuhkan hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).