KAPIT: “Sekiranya dipilih, saya akan meneruskan agenda pembangunan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.”

Itu ikrar Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong ketika ditanya mengenai calon yang akan mengisi kekosongan kerusi DUN tersebut.

Ia selepas penyandangnya, mendiang Tan Sri James Jemut Masing meninggal dunia pada 31 Oktober lalu.



Tan Sri James Jemut Masing dalam kenangan (5 Mac 1949 – 31 Oktober 2021)

BACA: James Jemut Masing meninggal dunia

“Saya adalah Ahli Parlimen di kawasan tersebut dan DUN Baleh di bawah Parlimen saya.

“Ramai yang mengatakan bahawa saya adalah calon yang sesuai, namun, semua hanya akan ditentukan berdasarkan kebijaksanaan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Malah keputusan itu juga bergantung kepada Jawatankuasa Pemilihan dalam Parti Rakyat Sarawak (PRS),” katanya.

Ugak berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pejabat NIOSH Wilayah Sarawak di Kapit pada Sabtu.

Tambah beliau, adalah penting untuk meletakkan calon pengganti yang sesuai dan seterusnya memhami aspirasi dan legasi perjuangan mendiang Masing.

“Sekiranya dipilih, saya akan memikul tanggungjawab sama seperti peranan saya sebagai Ahli Parlimen.

“Selain itu, saya sering bersama mendiang dan saya faham serta tahu apa kehendak beliau untuk meneruskan legasi pembangunan di DUN Baleh.

“Ia melibatkan projek jalan raya, pembinaan jalan raya keselamatan di sempadan di Tapak Megah dan projek pembangunan jalan raya lain di kawasan tersebut,” tambah beliau.

Bagaimanapun, kata Ugak, sekiranya ada calon lain yang difikirkan sesuai untuk mengisi kekosongan itu, beliau akan menerima keputusan itu dengan hati terbuka serta sedia bekerjasama dalam segala perkara melibatkan agenda pembangunan rakyat di sana.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan bekerjasama dengan semua ataupun calon yang dipilih.

“Ini kerana kita mahu mengekalkan legasi dan meneruskan kesinambungan program-program atau aktiviti dan juga agenda pembangunan di kawasan DUN Baleh,” ujar beliau lagi.