KUALA LUMPUR : "UBAH, kalau bukan kita, siapa lagi?"

Demikian seru Pengerusi DAP cawangan Sri Aman yang juga calon bagi kerusi N32 Simanggang, Leon Jimat Donald dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini.

Dalam mesej berkempennya, beliau menjelaskan terdapat banyak kekurangan di Simanggang yang belum dapat diselesaikan oleh kerajaan sedia ada.

"Sarawak kaya dengan minyak, kayu balak, kelapa sawit, tetapi masih ramai rakyat yang sangat miskin.

"Ramai orang muda lepasan sekolah terpaksa keluar dari Simanggang untuk mencari kerja, tidak ada sokongan untuk berniaga dan kerja yang boleh dibuat di kampung halaman sendiri.

"Mereka terpaksa mencari kerja di Johor, Kuala Lumpur, Singapura, Miri ataupun di Brunei.

"Sudah lebih 50 tahun kita merdeka, tanah hak adat bumiputera (NCR) masih belum diiktiraf menggunakan Seksyen 18," katanya dalam perkongsian video di media sosial menerusi inisiatif Suara Untuk Semua.



Beliau menjelaskan, ketika Pakatan Harapan (PH) diberikan peluang untuk mentadbir kerajaan, pelbagai usaha merangkumi pelbagai aspek telah dilakukan buat rakyat

Ada antaranya menjadi realiti.

"Sudah 12 tahun menyertai parti DAP, banyak kesusahan rakyat di Simanggang. Kita sudah cuba atasi dan ketengahkan sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa itu, terpaksa bertindak mengatur masalah-masalah rakyat.

"Kita mengambil contoh, Hospital Sri Aman memang sering menjadi isu dari 2008 sehingga hampir disiapkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada awal tahun 2020.

"Kami dari parti DAP Sri Aman memang bekerja keras menolong rakyat Simanggang beberapa tahun ini dari mula hingga sekarang," jelasnya.

Memberi contoh, ujar beliau pihak DAP cawangan Sri Aman turut memberi projek anak benih kelapa sawit kepada peladang yang mana ia dimanfaatkan oleh ramai.

"Kami dari DAP Sri Aman juga pernah menyumbang kepada pembinaan jambatan di Kampung Sungai Tandok yang dibina secara gotong-royong menggunakan projek Impian Sarawak.

Ini termasuk inisiatif projek kecil (MRP) di kampung, sekolah dan persatuan di Simanggang.

Oleh yang demikian, sekiranya diberikan mandat pada 18 Disember ini, beliau berjanji akan berusaha membawa pelaburan yang mana ia sekali gus meningkatkan ekonomi serta pendapatan warga Simanggang.

Pengundian bagi PRN12 Sarawak akan berlangsung pada 18 December ini dengan 83 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Ia membabitkan seramai 349 calon daripada 10 parti politik serta calon Bebas.