SONG: Usaha untuk memperkasa pembangunan dalam pelbagai sektor di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas merupakan antara agenda yang dirancang oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Lidam Assan.

Bagaimanapun, beberapa perkara asas perlu disediakan terlebih dahulu untuk membolehkan sektor-sektor utama seperti pertanian dapat dibangunkan.

Antara fokusnya sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) adalah memanjangkan tembusan jalan raya dan memperkuatkan capaian internet di kawasan tersebut.

Ini ujarnya bagi membolehkan lebih banyak hasil pertanian dikomersialkan seterusnya meningkatkan penglibatan belia dalam sektor tersebut.

“Bagi saya asasnya pembangunan kita untuk meningkatkan pendapatan adalah pertanian dan kita tahu di sini kita banyak tanah yang belum diterokai.

“Oleh itu, kita sebagai pemimpin perlu adakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan untuk belia pulang ke kampung dan kita perlu sediakan perhubungan dan capaian internet yang baik.

“Dengan adanya dua perkara asas ini, kita boleh membawa teknologi bagi membantu dalam usaha nak keluarkan hasil dengan menggunakan Internet of Things (IoT), pastinya kita dapat tingkatkan produktiviti dengan kualiti yang dikehendaki di pasaran,” katanya dalam temu bual khas bersama Astro AWANI menerusi slot Sarawak Memilih.

Selain dua fokus tersebut, Lidam juga merancang membangunkan beberapa fasiliti asas lain seperti menyediakan lebih banyak perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Bagaimanapun, ia hanya boleh direalisasikan dengan kerjasama daripada bank-bank yang terlibat dan penilaian ini bukan mudah kerana pihak bank akan melakukan dapatan kajian melibatkan kepadatan jumlah penduduk dan beberapa faktor lain sebelum sesebuah cawangan dapat dibuka di kawasan tertentu khususnya di pedalaman.

“Perkara ini macam telur dengan ayam, kita nak sediakan banyak ATM kena panggil bank-bank komersial tapi mereka memerlukan pelanggan yang cukup.

“Oleh itu, kita kena pertingkatkan pendapatan ekonomi dan seterusnya membolehkan lebih ramai pengguna perkhidmatan perbankan di kawasan ini.

“Kemudian barulah kita mampu mencapai kriteria tersebut, namun untuk waktu terdekat pastinya saya akan mendapatkan konsultasi dari Bank Simpanan Nasional (BSN), Agro Bank, Bank Rakyat dan sebagainya,” tambahnya.

Untuk saingan kali ini, Lidam akan berdepan saingan enam penjuru melibatkan Robertson Mawa dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Munan Laja (PKR), Sai Malaka (PBDSB), Yunus Basri (PBK) dan Tengku Gruna (Bebas).