SIBU: Walaupun sekali lagi pertembungan lima penjuru berulang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh tampak tenang.

Selepas pengumuman rasmi dari Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penyandang kerusi Bawang Assan itu tidak sedikitpun gementar malah memberi maklum balas bahawa PSB mampu untuk menyaingi kesemua calon yang ditampilkan.

Sebagai Presiden PSB, Soon Koh menjelaskan misinya hanya satu untuk memastikan sentimen perubahan yang didengarinya dan dimahukan rakyat dapat direalisasi melalui parti kerajaan negeri baharu. 

“Ini adalah pertandingan perlawanan antara PSB dan GPS kerana di mana sahaja saya pergi, saya boleh merasai sentimen perubahan disebut-sebut oleh rakyat.

“Selepas 58 tahun dikuasai oleh parti tunggal Barisan Nasional (BN) dan sekarang GPS, saya berharap sentimen perubahan ini akan diubah menjadi undi kepada PSB, untuk kita meneruskan kerajaan yang baharu di Sarawak,” katanya selepas  pengumuman calon Bawang Assan di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Suarah Sibu pada Isnin. 

Sementara itu, calon Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Robert Lau Hui Yew menyimpulkan angin perubahan yang disebut-sebut Soon Koh perlulah bersifat realistik.

Tegas Senator Dewan Negara itu, jika transformasi yang dimaksudkan tidak sepadan dengan nadi rakyat, apapun kesudahan dan kesannya perlu dipertanggungjawab sebaiknya oleh pemimpin mereka kelak.

“Kita mesti memilih pemimpin yang betul. Pemimpin yang kita perlu percaya adalah mereka yang melaksanakan kerja dan bukan cakap sahaja. Mereka yang ada prinsip. Ini penting kerana kita akan mewakili suara rakyat.

“Di sini, wakil individu yang dicalonkan jika menang, akan menjadi wakil kepada rakyat. Mereka (rakyat) telah letakkan kepercayaan.. kita laksanakan apa yang kita janjikan. Tidak perlu bertukar arah jika ia tidak sesuai dengan kemahuan rakyat yang akhirnya perlu dipertanggungjawab pada rakyat,” katanya.

DUN N53 Bawang Assan akan menyaksikan pertembungan lima penjuru selain PSB dan SUPP, iaitu calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), Michelle Ling Shyan; calon Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP), Amy Lau Bik Yeing; dan seorang calon bebas, Ricky Enteri.

Pada PRN11, Soon Koh yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang kerusi Bawang Assan dengan lebih 19,000 pengundi dengan majoriti 4,131 undi dan telah memegang kawasan itu selama enam penggal sejak tahun 1991.