KAPIT: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) terus komited memperkasa pembangunan belia dalam sektor pertanian di kawasan Bukit Goram, di sini,

Menerusi Kursus Teknologi Fertigasi yang berlangsung selama dua hari, lima modul disediakan khusus bagi memperkenalkan dan meningkatkan pemahaman peserta dalam sektor pertanian fertigasi.

Menurut Timbalan Pengerusi SABERKAS Bukit Goram, Judson Jurrau, limpahan pembangunan infrastruktur yang sedang berlaku di Kapit membolehkan golongan belia khususnya untuk terus merebut peluang mencipta pendapatan dalam sektor pertanian.

“Kapit kini sudah boleh dihubungkan melalui jalan darat jadi hasil pertanian yang ada disini punya peluang untuk dikomersilkan di luar.

“Jadi pembangunan infrastruktur yang terus berlaku di kawasan ini wajar dimanfaatkan sebaiknya oleh golongan belia khusus dalam bidang pertanian,” katanya.

Ujarnya, penganjuran ini bukan sahaja menyediakan platform bagi peserta memahami teknik pertanian berasaskan fertigasi malah menyediakan khidmat nasihat dan kaunseling oleh pemain industri.

Selain itu, bantuan kewangan juga akan disediakan bagi peserta yang ingin terlibat secara serius dalam sektor ini.

“Kita akan terus membantu daripada aspek nasihat serta kaunseling dan kewangan khusus buat peserta yang benar-benar ingin menceburi bidang ini.

“Ini dibuktikan dengan penglibatan Jabatan Pertanian Bahagian Kapit yang turut serta dalam kursus kali ini dan mereka telah terangkan secara khusus apa yang boleh dibantu untuk terus memperkasa sektor pertanian di Kapit ini,” tambahnya.

Lima modul yang disediakan untuk kursus kali ini melibatkan pengenalan kepada teknologi fertigasi, keperluan asas dalam sistem fertigasi, penanaman serta penyemaian menggunakan teknologi fertigasi, kepentingan unsur dan formulasi baja teknologi fertigasi dan penjagaan serta pengurusan tanaman di ladang.

Bagi salah seorang peserta terlibat Mathew Manggang, kursus seperti ini membuka matanya untuk terlibat secara serius dalam sektor ini.

“Ini kali pertama saya terlibat dalam kursus seperti ini sebab saya tidak ada pengalaman dalam bidang pertanian.

“Tetapi melalui perkongsian yang diberikan, ia nyata memberi impak yang besar setelah mendengar hasil yang diperoleh menerusi sektor ini,” ujarnya.

Manakala bagi Kilat Naitock, kursus ini memberi pendedahan secara jelas mengenai kepentingan beralih daripada teknik penanaman secara konvensional kepada teknik yang moden.

“Secara amnya, ini adalah sesuatu yang baharu bagi saya dan nyata teknik pertanian ini sangat menjimatkan tenaga kerja sekali gus mampu mengurangkan kos dan membolehkan petani menjana lebih pendapatan.

“Kini saya ada juga terlibat secara kecil-kecilan dalam pertanian di rumah dan selepas didedahkan dengan pelbagai teknik hari ini, saya merasakan adalah wajar untuk saya terlibat secara serius,” katanya lagi.

Penganjuran kali ini melibatkan penyertaan 50 peserta dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram.