SARATOK: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Friday Belik berkata, beliau tidak menyangka Datuk Ali Biju akan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah hak individu dan dia yakin keputusan itu dibuat atas sebab tertentu.

“Apabila beliau muncul untuk mengemukakan kertas penamaan calon kita memang menjangkakan dia akan ambil bahagian dalam pilihan raya ni.

“Tetapi apa yang kita tidak jangkakan ialah apabila beliau menarik diri dari pertandingan dan itu adalah hak beliau, mungkin ini (keputusan) dibuat atas sebab-sebab hanya beliau sendiri yang tahu,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Krian pada Jumaat.

Tambahnya antara lain yang memungkinkan penarikan tersebut adalah atas dasar kesedaran penyandang DUN Krian itu untuk membuka satu lembaran baharu bagi terus membangunkan rakyat di sana.

“Mungkin juga atas sebab kesedaran perlunya kita di kerajaan ini memulakan lembaran baru untuk kita sama-sama menyatupadukan rakyat dan membelakangkan kepentingan peribadi kita serta mengutamakan kepentingan masyarakat Krian,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, dia turut berharap agar penyokong-penyokong Ali untuk sama-sama menyatakan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita juga mengharapkan penyokong-penyokong beliau supaya sama-sama mengikut langkah beliau dan berdiri teguh bersama beliau dan GPS demi kepentingan masyarakat di Krian,” ujarnya lagi.

Pada 6 Disember lalu, Ali hadir menyerahkan borang penamaan calon bagi kerusi  DUN Krian dan bertanding atas tiket Bebas.

Namun keputusan itu mengundang pelbagai reaksi khususnya dari kepimpinan tertinggi GPS dan Bersatu.

Selepas empat hari proses penamaan calon selesai, Ali bagaimanapun memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding dan mempertahankan kerusi DUN Krian.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan untuk tidak bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Krian dibuat bagi memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

Malah dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Saratok itu berkata beliau akan memberikan sokongan penuh kepada calon GPS bagi menghadapi saingan pada kali ini.