SIMUNJAN: Tiada kata dapat diungkap melainkan rasa bangga kerana menjadi satu-satunya pengundi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong.

Menurut Lans Koperal Kelana Ponibot, 56 tahun, beliau memegang status sebagai pengundi tunggal di kawasan itu sejak tiga penggal lalu lagi.

Kata bapa kepada empat cahaya mata itu, setiap kali tiba pilihan raya, perasaannya berkobar-kobar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Sebelum ini, memang saya mengundi di Simunjan, iaitu sebelum N.26 dipisahkan daripada Simunjan.

“Saya berasa bangga kerana dapat melaksanakan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia, mengundi untuk pemimpin masa akan datang.

"Pesan saya kepada rakyat Malaysia, jangan takut untuk mengundi,” katanya ketika ditemuI Astro AWANI, di sini hari ini.

Terdahulu, Kelana selesai membuang undi di Pusat Pengundian Ibu Pejabat Daerah (IPD) Simunjan kira-kira pukul 10 pagi.

Seramai 112 pengundi awal melibatkan DUN Simunjan (111 pengundi) dan DUN Gedong (satu) akan mengundi awal di pusat pengundian tersebut.

Bercerita lanjut, Kelana yang sudah berkhidmat selama 36 tahun sebagai anggota polis berkata, ramai yang akan menantikan ketibaannya di pusat pengundian setiap kali hari pengundian awal.

Situasi itu membuatkan Kelana berasa kagum dengan dedikasi yang ditunjukkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terlibat, walaupun terpaksa menguruskan seorang pengundi sahaja.

“Saya merasa bangga dengan petugas-petugas yang berdedikasi menantikan kehadiran saya.

“Mereka akan tertanya-tanya, macam mana rupa Kelana sebagai pengundi tunggal,” ujarnya.

Jelas Kelana, pertama kali beliau menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi adalah pada 1986 ketika berkhidmat di Sabah.

Selepas dipindahkan ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, Kelana mengundi di DUN Satok selama 16 tahun.

“Waktu itu, penyandang kerusi DUN Satok ialah Ketua Menteri Sarawak sekarang ini. Dan tahun 2006, saya mula bertugas di bawah pentadbiran IPD Simunjan,” katanya.

Pada PRN Sarawak kali ke-12 ini, DUN Gedong bakal menyaksikan saingan empat penjuru.

Ia melibatkan Pengerusi Parti Gabungan Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Openg, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango, calon Parti Amanah Negara (Amanah) Kamal Bujang dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mohamad Sofian Fariz Sharbin.