KUCHING: Biar strategi dan pendekatan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadi 'rahsia' dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak kelak.

Demikian respon ketua pergerakannya, Datuk Seri Fatimah Abdullah ketika mengulas tahap kesiapsiagaan parti itu khususnya berdepan cabaran pilihan raya tanpa fizikal.

Menurut penyandang kerusi DUN Dalat itu, pihaknya perlu bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan perubahan saat akhir berkaitan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) PRN Sarawak.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan SOP di PRN Melaka dan ia mungkin akan digunakan pada PRN Sarawak kelak.

“Oleh itu, jentera parti perlu bijak terutama beradaptasi dengan sebarang perubahan dan harus dilaksanakan mengikut kesesuaian kawasan,” katanya pada sidang media di Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di Kuching pada Rabu.

Mengulas lanjut, larangan kempen secara konvensional memaksa parti itu beralih kepada penggunaan kaedah digital sebagai altenatif baharunya.

“Keperluan perubahan juga harus mengambil kira keadaan semasa, termasuk faktor geografi khasnya di kawasan pedalaman selain kekangan jaringan internet.

“Jadi segala perubahan itu perlu dilaksanakan, dan kita harus memikirkan apa yang akan dilakukan.. itu adalah rahsia kita,” jelas beliau lagi.

Mengenai penggunaan logo baharu bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya kali ini katanya, ia sudah diuar-uarkan sejak awal penubuhan gabungan tersebut.

“Ini kali pertama kita menggunakan logo GPS, jadi antara perkara yang menjadi tanggungjawab pergerakan wanita ialah memaklumkan, memberitahu, dan menguar-uarkan mengenai logo berkenaan.

“Ini bukanlah kita lakukan sekarang, tetapi telah kita buat dari awal dahulu kerana simbol itu akan digunakan dan perlu diperkenalkan kepada pengundi-pengundi,” ujar beliau.

Untuk rekod, sebelum ini empat parti komponen GPS yang terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mengumumkan keluar dari Barisan Nasional (BN) pada 12 Jun 2018 selepas BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13.