ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa beliau bersama kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri telah menyerahkan kenderaan rasmi masing-masing selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan bagi menyemai amalan demokrasi yang baik selain mengelakkan kenderaan berkenaan digunakan bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau turut menyeru agar kesemua Exco dapat menggunakan kenderaan sendiri sepanjang tempoh berkempen serta semasa menjalankan urusan rasmi kerajaan negeri dalam tempoh pentadbiran kerajaan 'caretaker' ketika ini.

Muhammad Sanusi juga berharap agar semua pihak terutamanya parti-parti yang akan bertanding dalam PRN untuk tidak menggunakan dana, harta, dan agensi-agensi kerajaan bagi tujuan kempen politik.

"Kita (semua) nak elak daripada tokoh kita dikatakan menggunakan kenderaan kerajaan (rasmi kerajaan) untuk kempen parti politik, maka kita buat penyerahan.

"Saya yakin semua ahli Exco ada kereta masing-masing termasuk saya, kereta peribadi.

"Walaupun selepas ini kita akan menjalankan lagi tanggungjawab Exco, (seperti) datang mesyuarat, pergi program, kita semua (boleh) naik kereta sendiri, itu lebih baik.

"Saya rasa selamat daripada (tohmahan), kerana banyak sangat sekarang ini (pihak yang) bercakap benda-benda tidak betul, benda di luar konteks, nanti dituduh kita pergi kempen, padahal pergi mesyuarat jadi naik kereta sendiri.

"Saya yakin naik kereta sendiri tak dapat pujian pun kerana ia benda benar, benda benar jarang dicakap di zaman fitnah," katanya.

Semua Exco Kedah serah kenderaan rasmi hari ini - Sanusi


Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Exco Negeri Kedah kepada Pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Foyer Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, menerima watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang diserahkan Pejabat DUN dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah.

Watikah berkenaan diterima oleh Pengarah SPR Kedah Aldrina@Mimi O.P. Andu yang diserahkan Setiausaha DUN Kedah Mohamad Azlee Ahmad di Wisma Darul Aman selepas majlis penyerahan kenderaan rasmi Exco kira-kira jam 11 pagi tadi.

Pada Ahad, Sanusi memaklumkan bahawa Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 akan datang.