KUALA SELANGOR: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli menarik diri daripada bertanding mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos depan.

Mohd Shaid berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar nasihat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menasihatkan beliau agar tidak bertanding.

"Saya datang ke Langkawi kerana mahu mendapatkan restu Tun untuk bertanding di DUN Jeram, namun saya dinasihatkan sabar demi penyatuan orang Melayu dan mempunyai agenda lebih besar termasuk menyelamatkan tanah air ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf dan berterima kasih kepada penyokongnya yang hadir di Pusat Penamaan Calon di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

"Saya berprinsip terus kekal setia dan taat kepada nasihat Tun (Mahathir), selain itu, berdoa akan ada peluang pada masa akan datang untuk berkhidmat kepada rakyat DUN Jeram," ujarnya.

Sebelum ini, wakil beliau tiba ke Pusat Penamaan DUN Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor untuk menghantar borang pencalonan kira-kira jam 9 pagi.

Bagaimanapun,wakil beliau didapati beredar tanpa menghantar borang pencalonan di pusat penamaan calon berkenaan.

Kerusi DUN Jeram sah ditandingi Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim yang menentang bekas Timbalan Ketua UMNO Sungai Buloh, Datuk Harrison Hassan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Mohd Shaid menang kerusi DUN Jeram dengan majoriti 1,191 undi selepas memperoleh 7,087 undi menewaskan calon BN, Cikgu Zahari yang mendapat 5,896 undi dan calon Pas, Ustaz Mohd Noor yang meperoleh 4,326 undi. - Sinar Harian