KLANG: Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kunci mulut berhubung desas-desus bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Tengku Zafrul ketika ditemui pada Jelajah Arus Merah Kuning DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Sri Andalas berkata, pihaknya tidak pasti namanya akan dicalonkan atau tidak pada PRN kali ini.

"Saya tak tahu dan tidak bertanya akan bertanding di mana. Bertanding atau tidak, saya terima dan terpulang kepada pucuk pimpinan tentukan," katanya mengulas dakwaan bakal bertanding di DUN Sungai Kandis.

Beliau berkata, kehadiran beliau ke jelajah berkenaan pada malam Ahad atas kapasiti menyokong jentera Kerajaan Perpaduan.

"Saya datang untuk membantu, jika saya bertanding pun kena pastikan tiga DUN bawah Parlimen Kota Raja dipertahankan.

"Saya juga datang bagi menyokong dan memastikan jentera UMNO dapat bersama PH untuk menghadapi PRN," katanya.

Beliau yang tiba di lokasi jam 8.30 malam tidak menunggu sehingga acara tamat susulan pulang awal bagi menyambut ulang tahun kelahiran bersama keluarga.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merangkap Pengerusi PH Selangor.

Sementara itu, Amirudin ketika ditanya berkenaan dakwaan Sungai Kandis akan diberikan kepada UMNO berkata, perkara itu masih belum boleh disahkan kerana masih di dalam perundingan.

Berkenaan ura-ura Tengku Zafrul bakal diangkat di DUN tersebut, Amirudin berkata, perkara tersebut isu dalaman UMNO dan perlu disahkan oleh parti itu sendiri.

"Itu terpulang kepada UMNO. Saya tidak boleh mewakili Tengku Zafrul apatah lagi Presiden UMNO.
"Status kerusi ini belum boleh saya dedahkan dan hanya boleh diputuskan selepas Aidiladha," katanya. -- Sinar Harian