BEBERAPA hari sahaja lagi pilihan raya umum peringkat negeri (PRN) kali ke-15 di enam buah negeri akan berlangsung.

Terengganu antara negeri yang terlibat dalam pilihan raya ini dan selalunya antara yang menjadi titik panas dalam geo-politik Malaysia.

Persoalannya, mengapa Terengganu menjadi tumpuan dan sangat penting dalam landskap politik negara kita?

Pertamanya Terengganu mewakili posisi kumpulan pengundi Melayu-Islam yang 'solid'.

Jumlah penduduk Terengganu yang melebihi 95 peratus kategori bumiputera Melayu menjadikan ia sebagai negeri 'Malay belt'.

Islam pula dilihat sangat mempengaruhi segala aspek dalam kehidupan dan menjadi pertimbangan utama bagi memilih pemimpin.

Ia sekali gus memberi isyarat bahawa parti mana yang dipilih oleh pengundi di Terengganu boleh disifatkan sebagai mewakili undi orang Melayu secara keseluruhannya.

Di sinilah gambaran sebenar bagi mengetahui parti manakah yang dipilih oleh orang Melayu bagi mewakili mereka.

Kedua, negeri ini unik kerana sentiasa kerap kali bertukar kerajaan dalam pilihan raya.

Pilihan pengundinya bila-bila masa boleh berubah menjadikan keputusan pilihan raya di Terengganu sesuatu yang sukar dijangka, manakala parti pemerintah sukar bertahan lebih dari tempoh satu penggal.

Selepas tahun 1961, politik Terengganu telah didominasi oleh UMNO sehinggalah PRU tahun 1999.

Kesan daripada gelombang reformasi yang berlaku ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari UMNO dan kerajaan serta kerjasama Pas dalam Barisan Alternatif menyebabkan majoriti pengundi Melayu di Terengganu memihak kepada Pas.

Natijahnya, Pas menang dan membentuk kerajaan pada tahun itu. Ini kali kedua Pas membentuk kerajaan selepas era 1959-1961.

Pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003, menjadi sumber kekuatan baharu kepada UMNO Terengganu untuk menghadapi seteru politik dalam PRU 2004.

Imej bersih dan sederhana Tun Abdullah telah memenangi semula hati ramai orang Melayu.

Kepimpinan UMNO Terengganu di bawah Datuk Seri Idris Jusoh bersama dengan kepimpinan UMNO Pusat telah membawa slogan baharu iaitu “Islam Hadhari Terengganu Bestari”.

Slogan ini amat berkesan sebagai 'counter-attack' kepada pendekatan Pas yang menggunakan agama sebagai asas perjuangan.

Keputusan PRU 2004, memberikan kemenangan besar kepada UMNO apabila parti itu berjaya menewaskan Pas di semua kerusi Parlimen di Terengganu. UMNO-BN menang 28 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan di peringkat DUN.

Akibat berlakunya tsunami politik Melayu PRU 2008, UMNO dan BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dengan lima buah negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Terengganu tidak termasuk dalam badai politik Melayu ini; UMNO kekal di Terengganu.

Walau bagaimanapun, kerusi yang dimenangi Pas telah bertambah kepada 8 daripada 32 kerusi DUN. Isu peringkat nasional ketika itu dilihat tidak relevan dengan pengundi Terengganu.

UMNO Terengganu melantik Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

PRU 2013, berlangsung dalam keadaan kepemimpinan di peringkat nasional telah beralih kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Hubungan erat di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat sepanjang 2008-2013 membolehkan banyak pembangunan negeri dilatakan di segenap penjuru.

Namun begitu, Pas berjaya menambahkan jumlah kerusi DUN daripada lapan dalam PRU 2008 kepada 15 dalam PRU 2013.

Pengaruh Pas semakin diterima oleh pengundi Terengganu.

UMNO berjaya membentuk kerajaan negeri dengan sekali lagi Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar. Namun begitu, jawatan Ahmad Said sebagai Menteri Besar tidak lama apabila beliau digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bermula pada 12 Mei 2014.

Pertukaran Menteri Besar ini telah menimbulkan krisis dalam UMNO untuk menghadapi PRU seterusnya.

Pelbagai kemelut yang melingkari UMNO-BN, antaranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (SST) menjadi modal Pakatan Harapan (PH) dalam tahun 2015.

Dalam PRU Ke-14, PH membentuk kerajaan dengan Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Tempiasnya sampai ke Terengganu. Pas kembali semula menguasai DUN Terengganu dengan memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN.

Pengundi Terengganu dilihat terkesan dengan isu di peringkat nasional dan menjadikan sebagai pilihan bagi mewakili suara mereka.

Mutakhir, pasca PRU ke-15 di peringkat Parlimen, menyaksikan tiada parti politik yang berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Gabungan Perikatan Nasional (PN), BN dan Pakatan Harapan (PH) tidak berupaya membentuk kerajaan secara bersendirian.

Setelah melalui proses perundingan serta menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipilih Perdana Menteri di atas platform kerajaan Perpaduan.

Kerajaan Perpaduan yang didukung oleh PH dan BN serta parti gabungan di Sabah dan Sarawak yang membentuk kerajaan Perpaduan akan diuji penerimaannya oleh pengundi Melayu-Islam dalam pilihan raya negeri di Terengganu pada kali ini.  

Ketiga, Terengganu sebenarnya penentu hala tuju Pas di peringkat Pusat.

Pasca Tok Guru Nik Aziz, pendekatan dan arah kerjasama politik Pas banyak diputuskan oleh Presiden iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang yang berpangkalan di Rusila, Marang.

Antaranya, kerjasama Pas dengan UMNO melalui Muafakat Nasional, pembabitan Pas dalam "Langkah Sheraton" sehingga penubuhan gabungan kerajaan UMNO-BN dan PN.

Sebarang pertimbangan kerjasama antara parti banyak dipengaruhi oleh pimpinan dari Terengganu.

Faktor penentu PRN Terengganu bergantung kepada penerimaan dasar dan perubahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Mood penerimaan dan sokongan kepada Perdana Malaysia akan mempengaruhi pengundi untuk menyokong parti pendukung Kerajaan Perpaduan.

Terengganu berdasarkan pilihan raya terdahulu sangat dipengaruhi isu-isu politik peringkat nasional.

Selain itu, polemik hudud dan penubuhan negara Islam tidak lagi relevan sebagai senjata Pas untuk menawan hati pengundi.

Mengumpan pelaksanaan hudud sebagai modal pilihan raya akan memakan diri Pas kerana parti itu sudah berada dalam kerajaan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Malah dalam kempen selepas hari penamaan calon tidak kedengaran lagi perjuangan tentang hudud oleh Pas dalam kempen ceramah parti tersebut.

Pengundi muda pula menjadi penentu. Dalam PRU ke-15, sokongan pengundi muda memihak kepada Perikatan Nasional. Sekiranya pola sokongan ini tidak berubah, Terengganu akan kekal milik Pas.

UMNO dan gabungan Kerajaan Perpaduan perlu menyelesaikan isu kerjasama dengan DAP kerana di negeri Melayu-Islam ini, di Terengganu, DAP masih dilihat dengan wajah yang perkauman dan mengancam status-quo mereka sebagai bumiputera Melayu-Islam.

Sekiranya isu ini dapat diterima baik oleh orang Melayu, gabungan Kerajaan Perpaduan (BN-PH) untuk menang di Terengganu cerah.

Bagi rakyat Terengganu, isu pembangunan kemudahan asas seperti pengurusan bekalan air dan kemudahan infrastruktur yang mendesak juga akan dilihat dalam pertimbangan mereka dalam memilih.

Krisis bekalan air yang berlaku pada tahun 2021 masih berbekas di hati sebahagian rakyat Terengganu yang terkesan.

Faktor kecekapan pentadbiran termasuklah isu-isu kerajaan tempatan seperti kebersihan, penyediaan dan penyelenggaraan sampah, kemudahan asas dan infrastruktur juga akan mempengaruhi pengundi terutamanya pengundi di bandar dan kelas menengah yang semakin membesar di Terengganu.

Bagi pengundi luar bandar biasanya mereka sudah pun mempunyai jalur politik yang tertanam secara sosialisasi.

Political affiliation mereka jelas. Namun antara perkara yang menjadi pertimbangan mereka ialah keberkesanan peranan yang dimainkan oleh pentadbiran di peringkat kampung MPKK dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat.

Melihat semula sejarah pilihan raya di Terengganu, hanya UMNO dan Pas sahaja merupakan parti politik yang menjadi pilihan pengundi.

Dengan mewakili majoriti Melayu Islam maka isu-isu yang melibatkan Melayu-Islam menjadi tema utama isu-isu pilihan raya.

Isu-isu politik pembangunan dilihat sebagai faktor penambah. Tarikh 12 Ogos 2023 ini akan menentukan sama ada dacing atau bulan pilihan rakyat Terengganu.

Berdasarkan faktor Melayu-Islam ini, ramalan tentang parti manakah yang akan membentuk kerajaan negeri menjadi semakin sukar.



Syahrin Said dan Dr Hamdan Aziz merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kenegaraan & Ketamadunan, Universiti Malaysia Terengganu

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.