AMPANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Kerajaan Perpaduan ketika ini gagal dalam membantu rakyat.

Tegasnya, selama lapan bulan pembentukan kerajaan, namun sehingga kini rakyat tidak dibela sewajarnya.

"Kerajaan kerajaan hopeless, tak guna dan berbohong. Ini kita hadapi hari ini bila mana terbentuk kerajaan rakyat mengharapkan sesuatu boleh berlaku untuk baiki kehidupan kita.

"Kita nak tindakan berkesan, bukan omong kosong, pembohongan, cakap tak serupa bikin. Ini berlaku pada kerajaan Anwar Ibrahim," dakwanya ketika berucap dalam ceramah Grand Finale PN Selangor di Taman Melawati pada Jumaat.

Ujar Muhyiddin, jika dibandingkan ketika beliau mentadbir negara, tindakan berkesan berjaya diambil dalam menyelamatkan rakyat.

"Saya nak nyatakan bukan rasa kebimbangan, ketakutan saya, sudah lapan bulan berlaku tidak ada satu kenyataan mengembirakan, melegakan, menyeronokan, tidak ada satu sen wang membantu rakyat.

"Apa yang telah berlaku di negara ini, seolah-olah takda kerajaan, tiada perancangan. Saya tak nak ceritakan pengalaman tapi saya ada pengalaman," katanya.