SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini membuat penampilan kelima bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya selama empat penggal sejak 2004.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan menghadapi tentangan satu lawan satu daripada calon Perikatan Nasional (PN) yang mengetengahkan Timbalan Yang Dipertua PAS Rembau Rozmal Malakan bagi merebut kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau yang ditemui pemberita selepas pengumuman senarai calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau Norazam Nayan di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan di sini, berkata walaupun telah empat penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu, beliau tidak memandang remeh pihak lawan pada pertandingan satu lawan satu itu.

"Ia macam main bola, situasi dan kedaan berbeza, isu pun kadang-kadang berbeza jadi kita menghormati setiap calon...saya juga perlu kerja kuat...saya harap semasa pertandingan ini kita cuba beri penerangan kepada pengundi dan berkempen secara sihat," katanya.

Mohamad, 67, yang juga Ahli Parlimen Rembau berharap semua pengundi sekali lagi sama-sama memberikan sokongan kepadanya mewakili Barisan Nasional (BN) bagi memastikan parti mewakili Kerajaan Perpaduan menang di Negeri Sembilan agar kerajaan negeri selari dengan Persekutuan.

"Pengundi juga jangan terpedaya kononnya jika keputusan memihak kepada pihak lain maka kerajaan Pusat akan jatuh, tidak, tak ada...kita kena pastikan kerajaan negeri selari dengan Pusat supaya negeri dapat diuruskan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Rozmal berkata meskipun baru kali pertama bertanding dan bergelar calon 'underdog', beliau optimis PN mempunyai peluang merebut kerusi itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 12 Ogos dan pengundian awal pada 8 Ogos, di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang bagi PRN.

-- BERNAMA