MULU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala dijangka akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu rakyat di kawasan itu terus  memberikan sokongan kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak itu untuk kekal mewakili mereka bagi penggal seterusnya.

Walaupun menyampaikannya secara berkias namun ia sekali gus menjawab persoalan calon yang bakal bertanding di kawasan berkenaan.

“Sebab itu Sarawak harmoni, politik pun stabil kerana di Semenanjung masih timbul isu jumlah sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

“Tapi jangan lupa kita pun mandat tidak lama lagi akan tamat, jadi beri mandat kepada Datuk Gerawat Gala ini... sudah semestinya rakyat akan dapat manfaat,” kata Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama pemimpin di sebuah hotel terkemuka di Mulu pada Selasa.

Pada PRN11, Gerawat yang mewakili Barisan Nasional (BN) ketika itu menang dengan majoriti 1,708 undi mengalahkan Pauls Baya (PKR), Paul Anyie Raja (DAP) dan Roland Dom Mattu (Bebas) dalam pertandingan empat penjuru.