IPOH: Walaupun banyak ramalan ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH) termasuk mendakwa gabungan itu tidak ada masa depan namun parti lawan diingatkan bahawa kemenangan pasti dalam genggaman.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang optimis PH mampu merampas kembali pentadbiran negara sekali gus mengulang sejarah pada tahun 2018.

"PH berjaya mengalahkan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pemerintah lebih 60 tahun, hari ini kita berkumpul lagi pada tanggal 20 Oktober.

"Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini adalah PRU untuk kita beri peluang kepada rakyat untuk memilih.

"Sudah tentu lawan kita akan terus memainkan sentimen agama dan perkauman, kita tidak akan melalui rentak mereka.

"Sebaiknya kita akan mengemukakan tawaran dan penyelesaian masalah rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Harapan 2022 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini malam ini.

Saifuddin turut memberi amaran kepada parti lawan dengan meyakini PH mampu kembali mentadbir kerajaan.

"Biarpun ramalan apa pun ditujukan kepada kita seperti PH tidak punya masa depan, berpecah belah, tidur satu bantal mimpi lain-lain, masa depan kelam, masa depan gelap. Kepada mereka kita ingatkan... apabila malam semakin pekat... itu tandanya fajar semakin dekat.

"Apabila malam semakin pekat, selepas pekat malam itu ada satu saja akan berlaku, iaitu fajar semakin dekat, fajar itu adalah fajar kemenangan untuk Pakatan Harapan," katanya lagi.

Katanya lagi, PH turut memperkenalkan satu slogan bagi PRU kali ini iaitu 'Kita Boleh'.