KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menegaskan banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri itu membuktikan tindakan membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah silap.

"Saya beranggapan bahawa langkah yang diambil terhadap pembubaran dan sebagainya merupakan satu langkah yang silap.

"Ia telah menyebabkan bukan hanya mangsa terganggu tetapi pegawai-pegawai, ini bukan soal ahli politik boleh kempen tak boleh kempen tetapi pegawai yang terlibat," katanya selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia, di Klang.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: PM setuju agih komputer riba percuma pada M40 - Zahid

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Dalam pada itu, beliau berkata tiga mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Al Falah, Kampung Budiman dalam daerah Petaling disahkan positif COVID-19.

Beliau memaklumkan, ketiga-tiga mangsa itu telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Budiman.

Mengulas persediaan berdepan banjir, Amirudin memaklumkan, pasukan penyelamat telah bersedia untuk berdepan banjir yang telah dijangka akan berlaku pada minggu kedua November.

"Dari segi pengurusan pasukan Mencari dan Menyelamat, saya rasa kali ini lebih pantas dan dari segi menyediakan kemudahan kali ini lebih teratur dan tersusun," katanya lagi.

Seramai 211 mangsa daripada 49 keluarga telah dipindahkan dan ditempatkan di tiga PPS akibat banjir yang melanda beberapa kawasan di Klang dan beberapa kawasan lain di Selangor.

Sebanyak 147 mangsa daripada 32 keluarga telah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Johan Setia dan 32 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Binjai, di Meru, Klang.

Manakala baki 32 mangsa daripada 10 keluarga di daerah Petaling telah ditempatkan di Masjid Al-Falah, Kampung Budiman.