IPOH: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Mazlan Abd Rahman menegaskan, beliau tidak gentar sama sekali dengan ugutan yang diterimanya sepanjang berkempen.

Sebaliknya, tegas calon Barisan Nasional (BN) itu, sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam politik, beliau sudah biasa melalui pelbagai liku kehidupan, termasuk fitnah dan sebagainya.

Mazlan sebelum ini mendakwa beliau diugut supaya membayar RM300,000 dan sekiranya gagal berbuat demikian, suspek akan menyebarkan surat layang, risalah dan mesej tular di media sosial bagi memburuk-burukkannya dengan niat menjatuhkannya.

“Saya dah berjuang dalam politik ni hampir 28 tahun, bermakna saya telah melalui liku-liku serta pelbagai proses, cuma saya berdoa agar Allah akan memudahkan saya berkempen.

“Saya akan teruskan perjuangan untuk rakyat, namun nak tarik diri, nak membayar RM300,000, saya memang tak ada duit dan saya harapkan sangat agar pihak polis dapat menangkap orang yang menghantar mesej ini,” katanya.

Beliau ditemui ketika berkempen di Bandar Baru Tambun, di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang berkempen, beliau tidak pernah menyentuh peribadi mana-mana calon yang bertanding.

Menceritakan lebih lanjut, Mazlan berkata, beliau menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp sebanyak dua kali, pertama pada 6 petang Selasa manakala kedua pada 11.34 pagi Khamis.

Menurutnya, selepas mendapat nasihat daripada peguam, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Tambun, pada 12.54 tengah hari semalam.




Sementara itu polis mengesahkan telah menerima satu laporan daripada Mazlan yang berkata beliau telah diugut oleh seseorang melalui nombor telefon yang tidak dikenali.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ugutan itu diterima ketika calon berkenaan sedang berkempen.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan sejak hari penamaan calon 59 laporan polis telah diterima dengan enam kertas siasatan dibuka.