JEMPOL: Barisan Nasional (BN) mampu menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana tidak ada isu besar yang mampu memberi ancaman kepada parti itu kali ini, kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Tiada isu besar, parti telah buat keputusan calon PM (perdana menteri) adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob...tiada isu besar yang boleh meletup," katanya kepada pemberita selepas program Sepetang Bersama Tok Mat di Dewan Felda Raja Alias 2, di sini hari ini.

Mengulas mengenai tangkap layar yang mengandungi perbualan kononnya daripada 'Boss KJ' kepada penerima mesej dengan misi 'menghapuskan' Mohamad di Rembau, beliau berkata, usaha melaga-lagakan pemimpin BN pada PRU15 juga tidak menjadi 'kudis' kepada parti itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini juga telah menafikan perkara itu dan akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap pemilik akaun yang memuat naik perbualan palsu berkenaan.

Dengan berbaki dua hari lagi menjelang hari pengundian, Mohamad mengulangi keyakinannya bahawa BN mampu membentuk kerajaan pada pilihan raya kali ini berdasarkan maklumat terkini kajian sikap pengundi yang berpihak kepada UMNO.

"UMNO melakukan kajian tersendiri lebih komprehensif, kita di akar umbi, kita ada cawangan di seluruh negara, kita buat kerja mengkaji sikap.

"Banyak tempat telah melepasi 50 peratus, tetapi mana-mana kawasan yang ada tiga atau empat penjuru, kita tidak perlu 50 peratus.. dapat 43-45 peratus sudah cukup," katanya menambah jentera parti memainkan peranan penting membawa keluar pengundi putih ini pada hari pengundian, Sabtu ini. - BERNAMA