KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa Barisan Nasional (BN) meniru manifesto pihaknya berhubung isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.

Hamzah menegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memasukkan isu ini dalam manifesto BN ketika menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

"Dalam manifesto PN sudah ada tentang kerakyatan anak yang lahir di luar negara. Saya minta supaya PN masukkan perkara ini dalam manifesto.

"Zahid sudah jadi Menteri KDN sudah lama sebelum ini, kenapa tidak pernah dimasukkan dalam manifesto BN sebelum ini?

"Ini menunjukkan bahawa BN meniru manifesto PN dalam isu ini," ujarnya.

Hamzah juga menegaskan, sekiranya beliau kembali dilantik sebagai menteri dalam Kabinet kerajaan baharu selepas 19 Nov ini, isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara akan menjadi keutamaannya dan diselesaikan.

"Saya sudah nyatakan sebelum ini, tangan saya terikat atas undang-undang sedia ada mengikut perlembagaan negara.

"Bukan saya tidak simpati kepada anak yang dilahirkan di luar negara, saya simpati tetapi saya tidak boleh lakukan lebih kerana terikat dengan undang-undang," katanya lagi.

Hamzah juga berharap agar semua gabungan lain yang bertanding dalam PRU15 juga turut memberikan keutamaan kepada isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.