SIBU: Semua parti politik dijangka berdepan cabaran yang sama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini untuk meraih undi daripada pengundi muda, menurut dua penyandang Ahli Parlimen DAP.

Penyandang Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng berkata kebanyakan pengundi muda berusia 18 tahun masih tidak berminat untuk mengundi.

"Kebanyakan daripada mereka yang saya temui tak faham kenapa mereka perlu mengundi, selain tidak tahu siapa kerajaan atau siapa wakil mereka.

"Sebahagian daripada mereka juga tidak tahu siapa Perdana Menteri, manakala sesetengahnya berfikiran Datuk Seri Najib Razak masih menjadi Perdana Menteri," katanya

Lau, yang ditemui selepas membeli borang pencalonan di pejabat Majlis Perbandaran Sibu di sini hari ini, berkata beliau belum ada strategi tertentu untuk menarik pengundi muda, namun berharap lebih banyak usaha dilakukan bagi mewujudkan kesedaran tentang kepentingan mengundi.

"Kita perlu tangani isu ini bersungguh-sungguh. Pendidikan penting dan kita perlu mendidik golongan muda mengenai politik," katanya, sambil menambah pengundi muda sepatutnya mengikuti kempen politik sebelum keluar mengundi.

Sementara itu, penyandang Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew yang turut hadir membeli borang pencalonannya, berkata pengundi muda perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja mengundi untuk membentuk kerajaan Persekutuan tetapi juga untuk menentukan masa depan Malaysia.

"Mereka kata tidak ada gunanya mereka mengundi kerana semua parti sama. Di Malaysia, walaupun kita ada banyak parti politik, tetapi hanya ada dua bahagian (jenis)," katanya.

Menurutnya satu jenis parti dilihat sebagai kuasa konservatif, manakala satu lagi berjuang untuk perubahan.

"Jangan terkeliru dengan jumlah parti yang bertanding dalam PRU ini. Hanya pilih mereka yang boleh membawa perubahan di Malaysia," katanya.

Lau berkata kira-kira 20,000 daripada 80,000 pengundi di kawasan Lanang merupakan pertama kali mengundi, manakala bagi Sibu, Ling berkata 30,000 daripada 100,000 pengundi adalah pengundi baharu.

"Sudah tentu jumlah itu bukan Undi18 sahaja tetapi termasuk mereka yang telah melepasi usia itu yang baru sahaja berdaftar secara automatik," kata Lau yang menggesa orang ramai menyemak status pengundian mereka di https://mysprsemak.spr.gov.my.

-- BERNAMA